Pemilih baharu belum rasa seruan mengundi PRN Johor
Iklan
SEGELINTIR individu yang mendapati mereka didaftarkan secara automatik belum melihat keperluan untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac.
Rata-rata pengundi baharu itu lebih mengutamakan masalah periuk nasi dan kehidupan seharian berbanding urusan pilihan raya yang menurut mereka hanya menguntungkan segelintir pihak.
Antaranya, Wan, 26, dari Kota Tinggi yang memberitahu The Malaysian Insight, beliau berasa sukar untuk meletakkan kepercayaan kepada orang politik.
Beliau menjangka tidak akan keluar mengundi pada kali ini, sepertimana sikapnya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Malas nak ambil tahu pasal mengundi. Susah kita nak percaya orang politik ini lebih baik kita cari makan dan buat hal kita sendiri sahaja.
“Lebih baik kita fikir kerja, cari makan dan bantu keluarga. Tiada pihak yang benar-benar pegang tanggungjawab mereka (selepas dipilih),” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Usahawan gerai makanan itu berkata, beliau hanya akan keluar mengundi jika benar-benar merasakan ada keperluan untuk dirinya.
“Saya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, jadi saya nak lihat dengan jelas dahulu jika ada mana-mana pihak yang mempunyai tujuan jelas mereka bertanding pilihan raya.
“Kalau saya rasakan ada baiknya mereka dipilih, baru saya akan keluar mengundi,” katanya.
Segmen pengundi baharu seperti Wan berjumlah 749,731atau 30% daripada keseluruhan 2,597,742 bilangan pengundi di Johor selepas pendaftaran automatik bermula Januari.
Ia melibatkan pertambahan Dalam PRU14, hanya sekitar 1.8 juta pengundi berdaftar yang layak menyertai pilihan raya di negeri Johor.
Pertambahan itu berlaku selepas pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan membolehkan had umur layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.
Pertambahan itu menyaksikan terdapat peningkatan antara 20% hingga 30% di setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Seorang lagi pengundi baharu, Abdul Halim Idris, 29, juga tidak percaya kepada ahli politik yang bertanding pada masa ini.
Pekerja di sektor pelaburan perbankan itu berpendapat sikap ahli politik yang bertelagah tidak menarik minatnya untuk memilih wakil di kawasannya.
“Bukan tak nak mengundi, kami bukan was-was. Tetapi bila kita nak mengundi, ahli politik ini betul atau tidak, kita tak tahu pun sama ada mereka boleh dipercayai atau tidak.
“Ahli politik perlu betulkan matlamat mereka terlebih dahulu untuk berkhidmat kepada rakyat baru kita akan pertimbang untuk undi mereka,” katanya yang berasal di Skudai.
Katanya, beliau sedar tanggungjawab sebagai rakyat untuk mengundi dan memilih wakil rakyat namun keadaan politik yang kucar-kacir menyebabkan beliau tidak yakin untuk mengundi.
Beliau tidak yakin keadaan politik akan kembali stabil dengan proses pilihan raya baharu, tambahan pula dengan tekanan seperti pandemik Covid-19.
“Kalau kita undi ada apa kesan kepada kita? Memang kita mengundi untuk pilih kerajaan, tapi bukan sekarang.
“Buat masa ini banyak sangat perkara berlaku dan tiba-tiba nak suruh kita mengundi,” katanya.
Beliau tidak yakin untuk mengundi kerana melihat PRN itu sendiri diadakan demi kepentingan ahli politik terbabit.
“Untuk mengundi kita akan menilai calon, parti dan semua aspek, dari segi parti politik kita nampak sekarang mereka pun bercakaran.
“Ada orang politik yang bagus tapi ada juga yang kita tak tahu wajar atau tidak untuk kita mengundi.
“Sekarang kita nampak ahli politik ini hanya pentingkan diri mereka sendiri,” katanya.
Pada masa sama, beliau gembira kerana melihat parti Muda yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mula memberi harapan kepada politik tanah air.
“Bagus untuk orang muda, parti Muda, kita boleh sokong, bila kita berubah nanti, tapi beri masa…(buat masa ini) kita tak mengundi orang lain akan mengundi, walaupun kita tahu satu undi itu bernilai.
“Tapi orang politik kena meyakinkan kami, kenapa perlu kami mengundi mereka sedangkan sekarang mereka hanya pandai berjanji, tapi tiada bukti untuk meyakinkan pengundi,” katanya.
Abdul Halim bagaimanapun berkata apabila tiba masanya dan keadaan mula dirasakan sesuai dia akan keluar mengundi
“Kita anak muda akan tentukan masa depan tapi kenapa ahli politik tak betulkan keadaan sekarang dalam keadaan mereka bertelagah antara satu sama lain.
“Kita kumpulan bawahan yang baru nak hidup kena pilih untuk cari pemimpin baru yang boleh yakinkan kita untuk kita pilih mereka.
“Kita akan undi tapi bila keadaan dah meyakinkan untuk kita keluar mengundi dan pilih calon yang kita rasakan sesuai,” katanya lagi.
Farhan Mokhtar, 33, pula tidak pasti sama ada akan mengundi dalam PRN Johor nanti kerana merasakan tiada pihak yang layak untuk diundi.
Malah, pekerja sektor swasta itu berpendapat, tiada sebarang perubahan dirasai rakyat bawahan sepertinya walaupun bersilih ganti pentadbiran kerajaan bertukar.
“Saya masih belum tahu lagi akan mengundi atau tidak dalam PRN kali ini, waktu PRU14 dahulu pun saya tidak mengundi.
“Sebab keadaan (suasana politik) masih sama seperti dahulu, saya masih tidak nampak siapa yang saya rasakan layak untuk saya undi,” katanya.
Namun begitu, terdapat juga pengundi baharu yang mengambil sikap berbeza, dan merasakan mereka harus memperbetulkan keadaan dengan keluar mengundi pada 12 Mac depan.
Nurul Ain Omar, 26, merasakan PRN kali ini dia harus keluar mengundi dan memilih calon untuk mewakili kawasannya di Tebrau.
Beliau tidak pernah mendaftar sebagai pengundi sebelum ini kerana tidak mengambil berat kepentingan memilih, namun kali ini Nurul Ain mahu mengubah keadaan melalui undinya.
“Pilihan raya lepas saya muda lagi, saya tak faham dan tak ambil tahu langsung. Sekarang saya sudah 26 tahun saya sedar kenapa kena mengundi.
“Saya akan sokong yang mana lebih baik. Saya dah buat pilihan, saya akan lihat rekod prestasi dan berdasarkan calon dan parti,” katanya.
Nurul Ain mengharapkan satu undi daripadanya mampu mengembalikan kestabilan kepada kerajaan yang menurutnya kucar-kacir selepas PRU14.
“Kita nak parti kita sebelum ini, Umno pegang, kemudian apabila PKR pegang (mentadbir) keadaan jadi kucar-kacir, saya nak negara kita stabil.
“Sekarang dah tak stabil. Kita akan sokong calon di tempat kita, kemudian dari segi (kemenangan) majoritinya (bentuk kerajaan) nanti kita tunggulah,” katanya.
Walaupun gabungan parti pilihannya itu terpalit kontroversi dan skandal, Nurul Ain meletakkan asas kestabilan sebagai kayu ukur utamanya.
“(Dari segi) skandal saya tak boleh nak cakap apa… Tetapi kita nak yang dulu sebab yang dulu itu lebih stabil,” katanya.
Sharifah Salahuddin, 26, turut merasakan perkara sama, malah katanya PRN kali ini suri rumah itu akan keluar mengundi buat pertama kali.
Sharifah mengharapkan undinya dapat membolehkan keadaan kucar-kacir dalam politik tanah air dapat dihentikan.
“Saya tidak pernah daftar mengundi dan tidak mengundi pun dalam PRU14 lepas.
“Tetapi kali ini saya akan keluar mengundi kerana kerajaan hari ini saya lihat makin tidak masuk akal, huru-hara,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Februari dan pengundian berlangsung pada 12 Mac.
Selain Muda, antara parti baharu yang akan turut serta dalam PRN ini Pejuang yang mengumumkan untuk berentap di 42 kerusi negeri Johor.
Parti yang berpangkalan di Sabah, Warisan juga akan menyertai PRN tersebut dalam kempennya untuk melebarkan sayap ke semenanjung. – 14 Februari, 2022.