Keluarga Raymond Koh hantar surat terbuka kepada PM, KPN
Iklan
KELUARGA Pastor Raymond Koh telah menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani menuntut tindakan segera diambil untuk membebaskan mangsa kehilangan paksa.
Susannah Liew, ketika berucap pada majlis menyalakan lilin untuk menandakan ulang tahun kelima kehilangan suaminya Pastor Koh berkata keluarga mangsa kehilangan paksa telah mengalami penderitaan yang tidak terhingga dari segi kewangan, mental, fizikal, mental dan psikologi.
“Kami menuntut tindakan segera diambil untuk membebaskan mangsa, mendedahkan kebenaran di sebalik kehilangan ini, membawa pelaku ke muka pengadilan mengikut undang-undang dan laporan laporan pasukan petugas khas untuk didedahkan kepada umum,” katanya sambil menitiskan air mata.
Kehilangan paksa ialah penculikan atau pemenjaraan seseorang secara rahsia oleh negara atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kebenaran, sokongan, atau persetujuan sesebuah negara atau organisasi politik, diikuti dengan keengganan untuk mengakui nasib dan keberadaan orang itu, dengan niat untuk meletakkan mangsa di luar perlindungan undang-undang.
Koh diculik lelaki bertopeng di Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Februari 2017. Begitu juga, Amri Che Mat, seorang aktivis turut hilang pada 24 November 2016, selepas meninggalkan rumahnya di Kangar, Perlis.
Siasatan awam yang dijalankan oleh Suhakam menyimpulkan bahawa kedua-dua mereka telah diculik oleh Cawangan Khas dari ibu pejabat polis persekutuan, dalam kes yang disifatkan Suhakam sebagai kehilangan secara paksa.
Pada 2019, menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin mengarahkan pasukan petugas khas untuk meneliti penemuan Suhakam. Pasukan petugas itu diberi tempoh enam bulan mulai Jun tahun yang sama untuk melakukan tugas itu dan laporan itu sepatutnya dikeluarkan pada Disember 2020.
Liew telah berkali-kali meminta laporan itu didedahkan kepada umum, perkara yang sama diulangi oleh May Wei Khai, ketua siasatan awam Suhakam yang meneliti kehilangan Koh dan Amri.
Putrajaya setakat ini enggan menyediakan laporan itu atas alasan ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Minggu lalu, satu lagi siasatan Suhakam mengenai kehilangan Ruth dan Joshua Hilmy berakhir tanpa sebarang petunjuk jelas apa yang berlaku kepada pasangan itu.
Beritahu kami kebenaran
Dalam tempoh lima tahun Koh hilang, Liew berkata pihak berkuasa berdiam diri menunjukkan bahawa mereka bersubahat.
“Dimanakah dia? Adakah dia mati atau hidup? Adakah mereka telah membunuhnya? Ia sudah lima tahun dan saya tidak dapat menafikan bahawa saya kadang-kadang berfikir atau kehilangan harapan.
“Tetapi, saya tahu di mana sahaja dia berada, Tuhan ada bersamanya. Jika dia syahid, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada cawangan khas kerana memberinya keistimewaan dan penghormatan untuk mati sebagai syahid.”
Jika masih hidup, keluarga tidak akan berputus asa mencarinya, katanya.
Liew turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa tidak mempunyai kemahuan politik untuk bertindak.
“Mereka tidak peduli? Mereka fikir bahawa kehidupan tidak penting? Nyawa penting.
“Kami memfailkan saman sivil pada Februari 2020, kami mengikut undang-undang. Adakah mereka mengikut undang-undang atau adakah mereka mengikut undang-undang rimba?
“Kita tidak boleh membenarkan mereka melarikan diri. Kita mesti membawa pesalah ke muka pengadilan.
“Saya tidak berputus asa, saya akan berjuang hingga ke akhirnya. Harapan saya, suatu hari nanti kita akan bertemu semula dengan Raymond, di dunia atau di syurga.” – 13 Februari, 2022.