Ahli Parlimen Lubok Antu mohon sertai semula Parti Rakyat Sarawak
Iklan
AHLI Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang yang meninggalkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2018 sebagai calon bebas mahu patah balik kepada PRS.
Perkara itu disahkan Ketua Pemuda PRS Snowdan Lawan kepada The Malaysian Insight, berkata bagaimanapun penyertaan semula Jugah belum diluluskan.
“(Belum diluluskan) buat sementara waktu ini,” tambah Snowdan, yang juga Menteri Muda II Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
PRS merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menmerintah Sarawak.
Jugah, bekas ahli PRS Miri, melalui Facebook turut mengesahkan khabar angin beliau memohon untuk kembali ke PRS.
Katanya beliau dinasihatkan untuk kembali ke PRS oleh Ketua Menteri dan Pengerusi GPS Abang Johari Openg “demi perpaduan Dayak” selain bagi mengukuhkan PRS dan berkhidmat dengan lebih baik kepada penduduk Lubok Antu sebagai wakil GPS.
Jugah berkata beliau berharap penyokongnya dapat menerima langkahnya “dengan hati terbuka”.
Sumber dalaman PRS memberitahu The Malaysian Insight parti itu tidak tergesa-gesa mempertimbangkan permohonan tersebut kerana mereka kini sedang menyiasat dakwaan Jugah telah membiayai calon bebas untuk kerusi Batang Ai, John Linang Mereejon, pada pilihan raya negeri Disember lalu.
Batang Ai adalah satu daripada dua kerusi DUN di bawah Parlimen Lubok Antu.
Penyandang GPS-PRS bagi kerusi DUN, Malcolm Mussen Lamoh, mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 738 undi. Jumlah undi Mussem sebanyak 3,208 undi berbanding Mereejon dengan 2,470 undi.
Kemunculan Mereejon menimbulkan sedikit kemarahan kerana kebanyakan pakar meramalkan bekas ahli Parlimen Lubok Antu William Nyallau Badak, akan menjadi orang yang membawa perjuangan ke Lamoh.
Nyallau dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) hanya memperoleh 1,366 undi.
Calon keempat dalam pertempuran itu, Usup Asun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) hilang wang deposit.
Pada 2020 Jugah menyertai PKR sebelum dilantik sebagai naib presiden PKR Sarawak. Hubungannya dengan PKR bagaimanapun hanya bertahan beberapa bulan sahaja.
Pada 5 Jun 2020, beliau mengumumkan keluar parti untuk kembali sebagai ahli Parlimen bebas, memetik kekecewaannya dengan gabungan Pakatan Harapan sebagi punca peletakan jawatannya.
Jugah turut berkata kawasannya “memerlukan sokongan daripada kerajaan yang memerintah untuk projek pembangunan”.
Beliau juga telah berjanji menyokong kerajaan persekutuan Perikatan Nasional dan kerajaan GPS Abang Johari. – 14 Februari, 2022.