Hadi terlalu marah, kata sumber dedah punca Khairuddin dipecat
Iklan
ISU yang terkumpul melibatkan Mohd Khairuddin Aman Razali, termasuk hubungannya dengan seorang aktivis politik gerakan Islam, punca bekas menteri itu dipecat daripada dua jawatan dalam PAS dalam masa sebulan yang lepas, kata beberapa sumber.
Kemarahan Presiden PAS Abdul Hadi Awang memuncak selepas Khairuddin melibatkan aktivis politik itu semasa mewakili parti dalam satu persidangan mengenai Palestin di Istanbul, Turki pada Disember lalu, kata sumber.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kemarahan Abdul Hadi tidak dapat dibendung sehingga pada satu peringkat mahu membuang Khairuddin dari parti.
“Namun ia dihalang oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat yang lain kerana bimbang keadaan akan lebih teruk dan tidak dapat dikawal hingga menjejaskan imej parti.
“Kerana itu akhirnya mereka membuat keputusan untuk mengugurkan sahaja jawatan Khairuddin sebagai ahli jawatankuasa parti dan setiausaha majlis syura ulama,” katanya.
Sikap Abdul Hadi terhadap aktivis politik itu diketahui umum dalam kalangan ahli dan pemimpin PAS. Beliau menganggapnya sebagai dalang yang memecah-belahkan kepimpinan tertinggi PAS.
Abdul Hadi juga dilapor pernah memberi amaran kepada Khairuddin kononnya aktivis politik berkenaan “agen Umno”.
Aktivis politik berkenaan dikatakan antara sosok utama yang terlibat mengatur hubungan PAS dan Umno sejak 2009.
“Presiden minta berulang kali putuskan hubungan dengan dia tapi Khairuddin tetap berhubung, termasuk membawanya ke luar negara,” kata sumber.
Sumber menjelaskan kesabaran Abdul Hadi teruji apabila Hamas mengadu mengenai kehadiran aktivis politik berkenaan bersama rombongan pimpinan PAS pada persidangan mengenai Palestin.
“Mereka tidak selesa bila (aktivis itu) ada dalam pertemuan tersebut. Maka wakil Hamas telah membuat bantahan kepada presiden sendiri,” katanya.
Seorang lagi sumber menceritakan perkara sama kepada The Malaysia dan menambah kehadiran Khairuddin bersama aktivis politik berkenaan ke persidangan Palestin bukan satu-satunya penyebab beliau dipecat daripada dua jawatan parti baru-baru ini.
“Ia rentetan dari isu-isu lain sebelum ini. Kita boleh kata pelbagai dan bukan semata- mata kerana isu lawatannya di Turki, Khairuddin dipecat.
“Cuma isu lawatannya itu menjadi titik tolak membawa kepada keputusan memecat Khairuddin,” katanya.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang dihubungi berkata beliau tiada maklumat mengenai perkara itu dan enggan mengulas lanjut.
Khairuddin yang dihubungi The Malaysian Insight juga enggan mengulas mengenai pengguguran jawatannya yang dikaitkan dengan seorang aktivis politik.
Dalam satu rakaman video di Facebook beberapa hari lalu beliau berkata belum sampai masa untuknya memberi komen mengenai pemecatannya.
Apa yang berlaku juga membabitkan isu dalaman dan perlu diselesaikan dengan cara parti, katanya.
Sementara itu, sumber membayangkan laluan sukar untuk Khairuddin mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenanginya sejak 2013.
“Ya, sudah pasti ada kemungkinan nama Khairuddin akan dikeluarkan sebagai calon yang mempertahankan kerusi Parlimen,” katanya.
Pada 14 Januari, Abdul Hadi mengesahkan penarikan balik pelantikan Khairuddin sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat, tidak sampai dua bulan selepas dilantik ke jawatan itu, setelah kalah dalam pemilihan parti.
Minggu lalu, Khairuddin digugurkan pula dari jawatan setiausaha agung Majlis Syura Ulama PAS.
Abdul Hadi berkata tindakan terhadap Khairuddin atas alasan disiplin tetapi beliau enggan memperincikan pelanggaran disiplin berkenaan.
Khairuddin, yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, dikenali antara pemimpin PAS yang kuat memperjuangkan kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional.
Penggugurannya daripada Jawatankuasa PAS Pusat kebetulan dibuat pada minggu sama Khairuddin terlibat dalam satu perbincangan tertutup bersama pemimpin parti yang diketahui cenderung kepada kerjasama dengan Umno.
Perbincangan tertutup tersebut difahamkan berkait usaha memperkukuhkan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN). – 15 Februari, 2022.