PKR umum 13 calon, tangguh umum zon tengah
Iklan
PKR mengumumkan tujuh lagi calon mereka malam tadi, menjadikan parti itu setakat ini sudah mengumumkan seramai 13 calon mereka secara rasmi untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac depan.
Pengumuman calon mengikut zon dibuat Presiden PKR Anwar Ibrahim di beberapa kawasan di Johor hari ini.
Anwar petang tadi bagaimanapun berkata parti itu menangguhkan pengumuman calon mereka di zon tengah, sebaliknya hanya umum bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sebagai calon PKR di Layang-Layang.
Zon tengah meliputi kawasan Rengit, Kukup, Tenggaroh, Benut, Semarang.
Bagi zon utara, Anwar mengumumkan:
Buloh Kasap: Bendahari MPN PKR Johor yang juga Ketua Cabang Pagoh Subramani Chami, 55.
Pemanis: Ketua Cabang Sekijang yang juga Naib Pengerusi PKR Johor, Yoong Thau, 60.
Sungai Balang: Timbalan Ketua Cabang Muar Abdullah Sahid, 59.
Semerah: Ahli Majlis Pimpinan PKR Johor yang juga penyandang, Khuzzan Abu Bakar, 54.
Sri Medan: Timbalan Ketua Cabang PKR Parit Sulong Azmi Masrani, 68.
Gambir: Setiausaha MPN PKR Johor yang juga ketua cabang Muar, Naim Jusri, 38.
Awal hari ini Anwar mengumumkan lima calon PKR di zon selatan melibatkan:
Kempas: Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Kamis Maharan
Larkin: Bendahari Cabang PKR Pasir Gudang Dr Zamil Najwah Arbain
Bukit Batu: Setiausaha Cabang PKR Tebrau Chong Sen Sern.
Tiram: Naib Presiden PKR Johor Gopalakrishnan Subramaniam, dan
Pasir Raja: Setiausaha AMK Johor Mohd Fakhruddin Moslim.
PH mengumumkan akan mengadakan kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam PRN Johor.
Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dalam kenyataannya sebelum ini berkata PKR telah memberikan laluan kepada Muda di tiga kerusi. Beliau bagaimanapun tidak menamakan kerusi tersebut.
Amanah dan DAP masing-masing menyerahkan empat dan dua kerusi kepada Muda, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai. – 14 Februari, 2022.