Iklan

PRN Johor bayangan corak politik Malaysia, kata Sheikh Umar

Mohd Farhan Darwis3 years ago15th Feb 2022Berita
Johor 080222 tmiseth 05
PRN Johor pada 12 Mac ini bakal melibatkan lebih 700,000 pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik termasuk mereka yang berumur 18 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2022.
Iklan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor akan menentukan corak politik tanah air khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Ali.

Keputusan PRN Johor akan menunjukkan kesan pertambahan pengundi muda dan kemunculan parti politik baharu kepada landskap politik negara, katanya yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Paloh.

PRN Johor yang ditetapkan 12 Mac ini bakal melibatkan lebih 700,000 pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan, termasuk mereka yang berumur 18 tahun.

Ia juga disertai dua parti baharu serpihan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), selain parti sedia ada PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Sheikh Umar, PRN Johor bakal menyaksikan sama ada BN akan kembali sebagai kerajaan atau sebuah jajaran pembangkang yang baharu terbentuk untuk menentang BN.

“Ia (PRN Johor) penting untuk jajaran politik menuju ke PRU15, di Johor dengan pertambahan pengundi, parti politik banyak didaftarkan, Muda, Pejuang dan Warisan, kemudian politik lama seperti BN, PH… kalau ada jajaran baharu politik ia harus bermula di Johor.

“PRN ini penting sebab pengundi kena tahu Umno tengah susun, tukar (kerajaan) Melaka, Johor, dan ada ura-ura Kedah dan Perak (selepas ini), ia gambaran kembalinya BN dan budaya politik lama.

“Kalau rakyat faham dan tak nak balik budaya politik lama dan mahu ada sesuatu yang baru rakyat kena sedar dan keluar mengundi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Muda setakat ini sah akan bertanding enam kerusi hasil rundingan dengan DAP dan Amanah, dan malam tadi mengumumkan seorang daripada enam calonnya.

Rundingan Muda dengan PKR bagaimanapun masih berjalan dengan PKR menawarkan tiga kerusi untuk parti baharu itu.

Pejuang pula mengumumkan akan bertanding sendirian di 42 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Keputusan PRN Johor akan menunjukkan kesan pertambahan pengundi muda dan kemunculan parti politik baharu kepada landskap politik negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2022.

Formula untuk PRU15

Sementara itu, Sheikh Umar yang juga ketua Pemuda DAP Johor berkata kerjasama PH bersama Muda boleh dilanjutkan pada PRU15 nanti, sekiranya berjaya di Johor.

“Di samping ia (PRN Johor) penting untuk tukar naratif politik lama BN, waima PH yang mungkin ada satu beban sejarah, ia juga penting untuk lihat apa jajaran baru politik yang nak dibawa di Johor yang boleh beri kesan untuk PRU15 nanti.

“Kalau Muda boleh bersama pembangkang di Johor, dan pilihan raya umum akan berlaku tak lama lagi, mungkin itu formula jajaran baru peringkat PRU15.

“Kalau Muda bersama pembangkang boleh jadi contoh di Johor mungkin pilihan raya umum akan datang Muda boleh menjadi kuasa bersama pembangkang untuk tolak BN,” kata bekas exco PH itu.

Sheikh Umar mengingatkan pembangkang perlu sedar mereka harus bersatu dan melawan BN berbanding masuk pilihan raya dan bertanding solo.

Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata PRN Johor akan menentukan corak politik tanah air khususnya menjelang PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2022.

Katanya, apabila mereka berpecah dan tidak bersatu, pertembungan sesama sendiri dalam pilihan raya bakal menguntungkan Umno dan BN.

“Faktor yang perlu diambil kira, pertembungan banyak penjuru, bila pembangkang tak bersatu Umno akan berkuasa semula, mereka berkuasa bukan sebab dapat majoriti, bukan sebab dapat banyak undi tapi kerana perpecahan undi pembangkang.

“Kalau berlaku tiga penjuru tak mustahil pembangkang akan kecundang, bukan sebab tak kuat tapi sebab undi pecah,” katanya.

Beliau juga yakin hanya dengan penyatuan pembangkang BN akan dapat ditewaskan.

“Kita tak boleh nafi, Muda akan masuk bertanding. Teori dan formula Muda adalah pembangkang yang bersatu, maknanya mereka akan bersama pembangkang dan akan pastikan tak bertembung, kalau perlu mungkin sedikit, itu sudah jajaran baru.

“Kalau PH boleh terima formula itu secara tak rasmi kita dah ada kerjasama dengan Muda, tengok Pejuang dan Warisan nak bersama atau tidak atau mereka nak kekal nak menjadi kuasa ketiga.

“Jadi ada PN, BN…Pejuang dan Warisan, Muda dengan pembangkang bersatu, kalau di sini berlaku dengan PH, mungkin peringkat Persekutuan berlaku perkara yang sama, jika itu berlaku, mungkin boleh bantu pembangkang untuk menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRN Johor pada 26 Februari ini. – 15 Februari, 2022.

Iklan
Iklan