Asal pelarian, sekarang pemilik restoran berjaya
Iklan
BUKAN mudah bagi pelarian meninggalkan negara sendiri kerana perperangan dan membina hidup di negeri asing.
Namun bagi anak pelarian Vietnam, Jawariah Halim, 43, kesusahan itu dapat beliau atasi dan sekarang jadi pemilik restoran berjaya yang menyajikan makanan Vietnam.
Jawariah bersama ibu bapa dan adik perempuannya antara ratusan ribu pelarian Vietnam yang datang ke Malaysia pada 1991 untuk mendapatkan perlindungan ketika negara asalnya bergolak perang. Umurnya ketika itu 12 tahun dan adiknya dua tahun.
“Masa itu kami menetap wilayah perkampungan Islam di Vietnam. Emak dan ayah saya dulu membuka kedai emas dan kedai baju di sana.
“Bila perang melanda, emak dan ayah nekad untuk membawa kami keluar dan lari ke Malaysia.
“Kami tak ada bawa apa-apa pun kecuali emas kerana kami menggunakan emas untuk memberi kepada orang yang menumpangkan kami rumah sepanjang perjalanan ke Malaysia.
“Ayah saya ditahan askar semasa ingin melarikan diri tapi saya, emak dan adik berjaya melepaskan diri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Jawariah, mereka dibantu seorang ejen dari Kemboja dengan upah emas yang nilainya RM50,000 seorang.
Perjalanan ke Malaysia mengambil masa hampir dua bulan, merentas tiga negara: Vietnam, Kemboja, dan Thailand.
“Sepanjang perjalanan ke Malaysia kami naik motosikal, kereta api, motor, kapal dan rentas hutan berhari-hari.
“Memang macam-macam pengalaman kami lalui, terutama ketika melalui Kemboja kerana kami takut risiko dibunuh oleh askar Pol Pot.
“Adik saya sebulan setengah diberi makan ubat tidur kerana tidak mahu askar Kemboja tahu yang kami pelarian dari Vietnam.
“Malah ada juga sampai berhari-hari kami tidak dapat makan kerana makanan yang diberi oleh penduduk kampung makanan tidak halal,” katanya.
Jawariah berkata selepas hampir dua bulan melalui perjalanan yang mencemaskan, mereka akhirnya sampai ke Malaysia dan ditempatkan di kem Cherating, Pahang.
Pada 1978, Malaysia membuka Pulau Bidong yang terletak di bahagian timur laut Terengganu sebagai tempat pelarian perang Vietnam.
Pulau Bidong menjadi pusat penempatan sementara kepada 254,534 orang pelarian Vietnam dan kem itu akhirnya tutup pada 1991.
Kem pelarian Islam di Cherating
Menurut Jawariah, dia dan keluarga tinggal di kem Cherating, yang dikhususkan untuk pelarian Islam, selama setahun hinggalah kem itu ditutup.
“Masa itu kami keluar kem Cherating tahun 1992, kerajaan Malaysia beri kami RM300 sebagai bantuan ihsan untuk bina hidup di sini.
“Kami juga mendapat status penduduk tetap (PR). Dengan RM300 itulah mak saya memulakan hidup kami sekeluarga dengan menyewa rumah,” katanya.
Baki duit itu dijadikan modal berniaga kerongsang di depan Pasar Payang di Kuala Terengganu selama tiga tahun.
“Keadaan kami ketika itu sangat susah. Bayangkan memang kami tidak ada apa-apa sehelai sepinggang. Emak pula terpaksa sewa kami di bawah rumah kerana itu saja yang mampu.
“Di situlah tempat kami berteduh makan minum. Menangis itu jangan kiralah bila kenang keadaan dan keluarga kami di Vietnam… keluarga yang senang, dan bila tiba di sini memang bergelut hidup, ahli keluarga jauh.
“Sampaikan nenek di Vietnam ketika itu telefon suruh kami balik tapi ditolak oleh mak,” katanya.
Jawariah berkata emaknya enggan meninggalkan Malaysia atas alasan di sini didikan dan amalan Islam lebih kuat berbanding Vietnam.
“Di Vietnam bukanlah tidak kuat tapi sebab kita bukan majoriti di sana, jadi ajaran Islam itu agak longgar.
“Biarpun hidup di Malaysia susah tapi kerana agama Islam emak nekad juga tinggal di sini dan tidak mahu balik ke Vietnam,” katanya.
Juwariyah berkata dia bertemu dengan ayahnya semula selepas mereka keluar dari kem pelarian di Cherating.
Perang juga meragut peluangnya ke sekolah, luah Jawariah.
“Saya berkahwin semasa 17 tahun dan bercerai di usia 20 tahun. Namun ketika itu keadaan keluarga kami berubah tidak sesusah dulu.
“Saya dapat buka butik pengantin memang ketika itu dapat sambutan. Namun saya tutup butik tersebut dan menjadi jurubahasa bagi nelayan Vietnam di Terengganu,” katanya.
Namun Juwariyah berkata dugaan sekali menimpa mereka kerana pada 2012 dia dirompak sehingga terpaksa diisytiharkan bankrap.
“Selepas itu saya tak berniaga dan berpindah di Kuala Lumpur kerana trauma. Tapi pada 2014 saya cuba untuk membuka kedai jual tudung dan kain di Jalan Masjid India hasil daripada duit jual rumah di Terengganu.
“Tapi disebabkan ketika itu terlalu banyak demonstrasi jalanan, saya rugi dan akhirnya terpaksa menutup perniagaan,” katanya
Wanita itu berkata dia mula terdorong mencuba membuka kedai makanan Vietnam selepas melihat ia mula menjadi trend bagi rakyat Malaysia.
“Masa 2018 saya balik semula di Kuala Terengganu dan masa itu secara kecil-kecilan kita jual popiah tapi lepas itu saya kata pada anak saya yang saya nak buka gerai juga untuk tampung kehidupan harian.
“Kemudian saya buka gerai di medan selera di sebuah pasar raya di sini. Saya jual popiah goreng dengan kopi Vietnam dan sambutannya mengalakkan.
“Tapi selepas itu saya terpaksa keluar dari medan selera itu kerana masalah dengan pengurusan yang tidak benarkan jual lebih dari dua menu,” katanya.
Katanya, dia akhirnya nekad untuk membuka kedai Pho Viet di tengah bandar Kuala Terengganu hasil bermodalkan perniagaan lain pada 2020.
Tanpa disangka, percaturannya berjaya. Kedai makan Vietnam mendapat sambutan terutama dalam kalangan masyarakat Cina yang sangat menggemarinya.
“Memang saya banyak perancangan untuk kedai makan saya. Saya berhasrat nak buka cawangan di Kuala Lumpur kelak.
“Memang betul hidup saya banyak dugaan, lepas satu, satu tapi saya tidak pernah rasa menyesal salahkan emak saya kenapa bawa kami ke sini. Bila difikirkan memang pilihan emak saya untuk tinggal di sini sangat tepat.” – 16 Februari, 2022.