Pemuda PKR rasa dipinggir, cemburu dengan Muda, kata penganalisis
Iklan
SAYAP Pemuda Pakatan Harapan (PH) kini perlu berebut di gelanggang yang sama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana kedua-duanya menyasarkan kumpulan dan segmen pengundi yang sama, kata penganalisis.
Mereka merujuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang umumnya menunjukkan kumpulan pengundi muda dari saluran 4, 5, dan 6 kebiasaannya mengundi blok PH.
Penganalisis politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Sani berkata pengaruh Muda dalam kalangan segmen pengundi tersebut dilihat lebih besar berbanding sayap muda parti, sekaligus menimbulkan rasa cemburu.
“Sentimen (sayap Pemuda PKR) kepada Muda, cemburu jugalah, Muda cuba dapatkan sokongan segmen kumpulan pengundi yang sama yang Pemuda PKR nak, mereka berebut juga.
“Sebelum ini orang muda banyak yang sokong PKR, sokong PH, saluran 4, 5 ,6 banyak sokong PH, (disebabkan) kempen mereka yang aktif untuk tarik sokongan orang muda.
“(Rasa cemburu disebabkan) Muda ini kumpulan lain (luar daripada PH), sudah pasti ada sentimen cemburu, segmen demografi sasaran Muda sama macam PH, bandar, separa bandar, berbilang kaum.
“Sebab itu bila (Muda) minta kerusi (dari PKR) ada isu, dan ada (pemimpin Pemuda) tak puas hati,” kata Azizuddin.
Azizuddin berkata, pemimpin PKR harus mengambil jalan meredakan keadaan atau berhadapan protes daripada akar umbi akibat keputusan tersebut.
Ia sekaligus memberikan risiko PH hilang kerusi dan memberikan kelebihan kepada lawan.
“(Pengerusi PH) Anwar Ibrahim kena buat sesuatu. Ini sentimen dalaman mereka tak bersetuju, mereka rasa tak yakin Muda boleh (menyokong PH).
“Muda kumpulan lain, tapi ada sambutan, berbanding PKR. Cuma yang penting bagaimana mahu menguruskannya (tentangan) supaya tidak menjadi sabotaj yang akan melemahkan parti.
“Kalau ia menjadi protes akan melemahkan PKR dan memperkuatkan Barisan Nasional yang nak lihat benda ini berlaku supaya mereka ada peluang besar nak menang,” kata Azizuddin.
Penyertaan Muda, yang dipimpin ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama PH di Johor dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sayap pemuda PKR.
Beberapa pemimpin melahirkan rasa kecewa dan kemarahan mereka di media sosial, berkaitan rundingan kerusi antara Muda dan komponen PH.
Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali pula berkata, tentangan dan kritikan sayap Pemuda PKR berdasarkan asas kurang rasa percaya terhadap Syed Saddiq.
“Kita mendengar banyak tentangan dan kritikan dari sayap PKR terhadap penglibatan MUDA dalam PH. Ini mungkin disebabkan mereka tidak percaya terhadap Syed Saddiq yang sebelum ini mewakili Bersatu yang pernah dianggap khianati Anwar.
“Mereka juga mungkin tidak senang dengan sikap DAP dan Amanah yang sejak awal-awal lagi telah menerima Muda,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga berpandangan BN dan Perikatan Nasional (PN) sudah pasti akan mengambil kesempatan dan memanfaatkan situasi tersebut.
“Pertelingkahan antara sayap Pemuda PKR dan Muda ini mungkin akan digunakan oleh lawan mereka BN, atau PN bahawa PH ini tidak bersatu dan tidak boleh diharapkan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yg stabil di negeri ini.
“Rakyat pasti akan bosan melihat pertelingkahan ini dan merasakan mereka (sayap PKR dan Muda) ini lebih pentingkan kuasa. Ini juga pasti akan mengganggu kempen PH,” tambahnya.
Malah, Mazlan turut berpandangan kritikan dan perbalahan itu juga menunjukkan seolah-olah terdapat isu antara komponen PH.
DAP dan Amanah juga katanya dilihat lebih mudah untuk menerima kerjasama bersama Muda, berbanding PKR.
Ia dapat dilihat menerusi pembahagian kerusi apabila Amanah dengan mudah menyerahkan empat kerusi manakala DAP memberikan dua kerusi kepada Muda.
Kerusi DUN Puteri Wangsa menjadi perbalahan kerana PKR dikatakan menyerahkan kerusi itu untuk ditandingi Amanah namun parti serpihan PAS itu bertindak memberikannya kepada Muda.
Muda juga mengumumkan Setiausaha Agung Amira Aisya Abd Aziz, 27, sebagai calon di kerusi itu.
“PKR dilihat agak mempunyai jarak dengam Muda berbanding Amanah dan DAP. Ini mungkin ada tekanan dalam PKR yang dianggap seolah-olah negatif, enggan, atau tidak bersetuju dengan idea mewujudkan khemah besar pembangkang.
“Pimpinan PKR mungkin sedang berdepan dengan tekanan yang berat dari dalaman parti yang akhir-akhir ini menunjukkan sikap yang agak berbeza dengan dua rakannya DAP dan Amanah,” kata Mazlan.
Penganalisis dari Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi pula melihat PH cuba bereksperimen dengan Muda dalam PRN Johor.
“Strategi DAP dan Amanah fokus di kawasan campuran, undi majoriti Melayu mereka elak bertembung Umno kerana akar umbi kuat, mereka serahkan kepada Muda, kalau apa-apa berlaku mereka akan salahkan Muda
“Apabila Muda diberikan kerusi, kalau satu pun Muda tak boleh menang, Muda tak boleh bercakap banyak dalam pilihan raya akan datang, ini eksperimen politik, kalau kalah semua, jangan harap mereka akan dapat kerusi yang banyak,” kata Awang Azman.
Namun katanya, serangan sayap pemuda PKR itu berasaskan kerana Muda menonjolkan imej seolah-olah mereka satu-satunya parti mewakili golongan muda.
Dalam PRN Johor kali ini, sejumlah 700,000 pengundi baharu dan pertama kali mengundi akan mengundi selepas umur layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun, serta pendaftaran pengundi automatik.
Ia mewakili kira-kira 30% daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi seluruh Johor. Separuh daripada keseluruhan pengundi berumur 18 hingga 39 tahun.
“Saya kira yang paling terasa PKR sebab mereka rasa perih sejak sejarah lampau, tanpa ada kuasa dan jentera mereka bergerak dan peranan pemuda PKR sangat penting dalam membentuk PKR hari ini.
“Mereka (Muda) pula cuba bertenggek atas sentimen yang berlegar, seolah-olah mereka menguasai pengundi muda di Johor dan seluruh negara, sedangkan semua parti ada sayap muda dan sebagainya,” tambahnya. – 17 Februari, 2022.