Adun Satok dilantik ketua whip GPS
Iklan
ADUN Satok yang baru Ibrahim Baki, dilantik sebagai ketua whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam dewan undangan negeri.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Menteri Abang Johari Openg pada majlis makan malam bersama wakil rakyat gabungan pemerintah empat parti itu di Kuching malam tadi.
Empat parti itu ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti ketua; Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Ibrahim, yang juga timbalan setiausaha agung PBB dan bendahari agung GPS, berkata beliau rasa rendah diri dengan kepercayaan yang diberikan ketua menteri kepadanya.
Dalam ucapan terima kasih kepada presiden gabungan itu atas pencalonan dan pengesahan mereka, Ibrahim berkata beliau berharap untuk “menanamkan rasa kewajaran dan kesopanan” dalam badan perundangan dan memastikan ia terus “dilihat sebagai benteng untuk menegakkan dan melindungi hak Sarawak”.
“Ini termasuk menjalankan fungsinya sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi di negeri ini sambil kami terus berusaha mendapatkan lebih banyak pemulihan hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 di bawah Perlembagaan Persekutuan ,” kata Ibrahim yang merupakan Adun penggal pertama paling tua pada usia 66 tahun.
Dewan undangan negeri itu akan bersidang semula pada bulan Mei. – 17 Februari, 2022.