Iklan

Kes Covid kanak-kanak meningkat 160%, kata KJ

Raevathi Supramaniam3 years ago17th Feb 2022Berita
51871037378 7b5a249f1a o
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kes Covid-19 melibatkan bayi baru lahir dan kanak-kanak sehingga usia 11 tahun telah meningkat sebanyak 160 peratus, justeru beliau gesa anak-anak disuntik vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2022.
Iklan

MALAYSIA mencatatkan peningkatan 160 peratus jangkitan Covid-19 melibatkan bayi baru lahir dan kanak-kanak sehingga usia 11 tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya ini adalah perkembangan yang membimbangkan justeru ibu bapa digalakkan membawa anak-anak berusia lima hingga 12 tahun mendapatkan suntikan vaksin.

“Maksudnya, kes telah meningkat dalam kalangan pesakit kanak-kanak. Kita sedang melihat peningkatan kes kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak.

“Bagi bayi baru lahir dan kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah, masih tiada vaksin Covid-19 yang diiktiraf di seluruh dunia.

“Kami harap dengan peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa memberi kebenaran kepada anak mereka (berumur lima hingga 12 tahun) untuk divaksin,” katanya pada sidang media hari ini.

Setakat ini, kurang daripada satu juta kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun telah didaftarkan untuk vaksinasi, tambahnya.

Pada minggu kelima 2022, Khairy berkata terdapat 6,524 kes Covid-19 dalam kalangan bayi baru lahir hingga kanak-kanak berumur 11 tahun.

“2,282 membabitkan bayi baru lahir hingga kanak-kanak berumur empat tahun, manakala 4,242 membabitkan kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun.

“Pada minggu keenam, kes dalam kalangan kumpulan ini meningkat kepada 16,959. Daripada jumlah itu 10,796 melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dan 6,163 melibatkan bayi baru lahir dan kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah.” – 17 Februari, 2022.

Iklan
Iklan