Iklan

Tiada lagi pengasingan kontak rapat Covid-19, kata KJ

Raevathi Supramaniam3 years ago17th Feb 2022Berita
50858402556 264465331c o
Iklan

KONTAK rapat Covid-19 tidak perlu diasingkan lagi di bawah protokol baharu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun mereka masih perlu membuat ujian kendiri secara berkala.

Khairy berkata protokol ini sudah pun dilaksanakan dalam kalangan petugas kesihatan awam dan akan diperkenalkan kepada orang ramai pada masa yang sesuai.

“Satu pekeliling sudah dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk pekerja kesihatan mengenai satu protokol baharu.

“Bagi mereka yang kontak rapat dan tiada gejala dalam kalangan petugas kesihatan, mereka tidak perlu lagi mengasingkan diri. Mereka hanya perlu buat ujian kendiri.

“Protokol sama akan kita laksanakan untuk orang ramai apabila tiba masanya,” kata Khairy pada sidang media hari ini.

Sektor kesihatan swasta juga boleh mengikut protokol yang sama seperti Kementerian Kesihatan, tambahnya.

Setakat ini, kontak rapat Covid-19 diminta asingkan diri selama lima hari.

Langkah baharu itu akan diperkenalkan bagi mengurangkan gangguan kepada ekonomi dan tempat kerja.

“Terlalu banyak kontak rapat sekarang kerana jumlah kes harian semakin meningkat, jadi orang ramai secara tidak sengaja boleh jadi kontak rapat.

“Apabila ini (pengasingan) berlaku, ia ganggu ekonomi dan tempat kerja.”

Khairy juga mengumumkan Helpdesk MySejahtera fizikal akan dibuka di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi membantu orang ramai menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan aplikasi itu.

“Helpdesk pertama akan dibuka di PPV Pusat Dagangan Dunia pada 19 Februari dan selepas itu di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 26 Februari.

“Kita akan buka lebih banyak helpdesk fizikal di negeri lain tidak lama lagi.” – 17 Februari, 2022.

Iklan
Iklan