Tiada kematian libatkan penerima dos penggalak, kata NPRA
Iklan
TIADA kematian dilaporkan dalam kalangan penerima dos penggalak Covid-19, kata Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohamad Sani.
Beliau berkata demikian susulan laporan mengenai 42 kematian melibatkan penerima suntikan penggalak semalam.
Roshayati berkata punca kematian dan dos penggalak hanya boleh ditentukan selepas siasatan menyeluruh dijalankan.
“Daripada 42 kematian itu, 22 telah disiasat manakala lagi 20 masih belum selesai,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
“Tidak ada kaitan antara vaksin dan kematian berdasarkan penilaian kami ke atas 22 kematian tersebut,” katanya.
Bagi menentukan sama ada individu telah meninggal dunia akibat vaksin atau penyakit lain, Roshayati berkata ia akan menjalani beberapa kali siasatan.
“Kesan advers susulan imunisasi (AEFI) akan disiasat rapi oleh doktor dan pakar di kemudahan kesihatan.
“Berdasarkan siasatan itu, termasuk data klinikal dan data bedah siasat jika ada, ia akan dinilai oleh jawatankuasa farmakovigilans yang terdiri daripada pakar dari pelbagai bidang seperti penyakit berjangkit, neurologi, pediatrik dan lain-lain.
“Jawatankuasa kemudian akan menentukan sama ada terdapat kaitan langsung antara kematian dan vaksin,” kata Dr Roshayati.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang turut hadir pada sidang media itu berkata apabila bedah siasat dijalankan sampel mayat akan dihantar ke makmal untuk analisis lanjut bagi menentukan punca kematian.
“Kami juga akan ambil sampel untuk dihantar ke makmal untuk analisis penyakit dan virus lain.
“Kami akan tunggu laporan ini sebelum kami boleh maklumkan punca kematian. Ini proses semasa,” katanya.
Roshayati turut mengingatkan media supaya melihat maklumat yang diberikan kepada mereka dengan teliti.
“Ini akan menyebabkan kekeliruan dan menakutkan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ada individu menggunakan maklumat yang salah untuk menyebarkan berita palsu.
“Mereka yang menolak suntikan penggalak bukan sahaja menolak untuk diri sendiri, malah menyebarkan berita palsu yang menakutkan orang ramai.
“Program penggalak dan program imunisasi kanak-kanak kini diganggu oleh individu yang tidak ada kaitan dengannya,” tambah Khairy. – 17 Februari, 2022.