Iklan

MCA intai 6 kerusi ‘boleh menang’ di Johor

Khoo Gek San3 years ago18th Feb 2022Berita
Mca
MCA menaruh keyakinan boleh memenangi 6 kerusi pada PRN Johor yang pernah menjadi kubu kuatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Februari, 2022.
Iklan

ENAM kerusi “boleh menang” di Johor yang MCA percaya boleh ditawan pada pilihan raya negeri 12 Mac depan ialah Pulai Sebatang, Pekan Nanas, Parit Yaani, Yong Peng, Paloh dan Pemanis, kata sumber parti.

Parti itu, yang tewas di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dikatakan akan bertanding di 15 kerusi dan menaruh harapan tinggi untuk bertanding di kerusi berkenaan yang secara tradisinya adalah kerusi MCA.

Keyakinan MCA terhadap enam kerusi itu meningkat berikutan pilihan raya negeri Melaka yang mana ia memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandinginya, kata sumber parti itu.

MCA juga berharap untuk bertanding di Jementah dan Johor Jaya, yang kedua-duanya tewas kepada DAP pada PRU 2013.

Dengan berbaki kira-kira seminggu lagi sehingga penamaan calon pada 26 Februari, Barisan Nasional masih berunding mengenai peruntukan kerusi.

Ketika MCA dikatakan bertanding untuk 15 kerusi, MIC dipercayai berminat untuk mempertahankan Kahang dan Tenggaroh, yang mana calonnya adalah penyandang kerusi berkenaan.

Sumber MCA berkata parti itu mempunyai peluang yang baik dalam pilihan raya akan datang walaupun kehilangan semua kecuali satu kerusi Parlimen pada 2018, kerana ia tidak pernah berhenti berkhidmat kepada pengundi.

Kebanyakan kawasan pilihan raya yang akan ditandinginya juga merupakan kerusi campuran etnik yang mana landskap politik tempatan tidak berubah secara drastik, tambah mereka.

Dan daripada enam kerusi yang disifatkan boleh dimenangi, MCA telah kehilangan separuh daripadanya untuk hanya satu penggal, menambah keyakinannya bahawa kerusi ini boleh dirampas semula.

Enam kerusi pada 2018:

* Pulai Sebatang
Ini adalah kerusi MCA sehingga ia kalah dalam pilihan raya umum 2018. Tan Eng Meng dari MCA telah diewaskan oleh Taqiuddin Cheman dari PKR (dari Amanah, menggunakan logo PKR) yang menang dengan majoriti 3,395.

Tan memperoleh 11,112 undi manakala Taqiuddin memperoleh 14,507 undi.

* Pekan Nanas
Pekan Nanas menyaksikan Yeo Tung Siong dari PKR menang dengan 11,856 undi mengatasi Tan Eng Man dari MCA 10,548 undi.

MCA memegang Pekan Nenas sehingga pilihan raya 2013 apabila ia kehilangan kerusi itu kepada DAP.

* Parit Yaani
MCA berdepan pertandingan tiga penjuru dengan PKR dan PAS di sini. Aminolhuda Hassan dari PKR (dari Amanah tetapi menggunakan logo PKR) menang dengan 12,309 undi mengatasi Soh Lip Yan dari MCA 7,475.

Calon PAS hanya mendapat 2,943 undi.

Ini juga merupakan kerusi tradisi MCA sehingga tewas kepada PAS pada 2013.

* Yong Peng
Yong Peng juga menyaksikan PKR, MCA dan PAS bersaing untuk merebut kerusi itu. Chew Peck Choo dari PKR (dari DAP menggunakan logo PKR) menang dengan 12,307 undi berbanding Ling Tian Soon dari MCA dengan 7,218 undi dan Muhammad Bin Abdullah dari PAS hilang deposit.

MCA dan DAP secara tradisinya bersemuka di Yong Peng, dan MCA memegang kerusi itu selama dua penggal selepas pilihan raya umum 2004 dan 2008. Ia kehilangan kerusi itu kepada DAP pada 2013.

* Paloh
Sheikh Omar Ali dari PKR (dari DAP) memenangi 8,958 undi dan mempunyai majoriti tipis 783 undi mengatasi Teoh Yap Kun dari MCA yang memperolehi 8,175 undi.

Calon bebas Shamugam Munisamy hanya memperoleh 61 undi dan kehilangan depositnya.

Sebelum 2018, MCA telah memegang kerusi Paloh selama tiga penggal.

* Pemanis
Pemanis ialah kerusi Barisan Nasional melalui Gerakan yang tewas kepada PKR buat kali pertama pada 2018. Ia adalah pertembungan tiga penjuru dengan PAS juga dalam pertandingan itu.

Chong Fat Full dari PKR memperoleh 8,304 undi mengatasi Koo Shiaw Lee dari Gerakan 7,941, memberikan Pakatan Harapan majoriti tipis 363 undi. Calon PAS mendapat 2,151 undi.

Muka baharu untuk pengundi muda

Sumber parti berkata MCA akan mempertaruhkan muka baharu untuk pilihan raya negeri, sama seperti BN di Melaka yang mempunyai 80% calon baharu.

Untuk Johor, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata akan ada muka baharu bersama muka lama.

Sumber-sumber parti berkata strategi ini digunakan untuk mencabar parti baharu Muda berasaskan belia, serta mengurangkan ketidaktentuan yang ditimbulkan oleh pengundi baru berusia 18 tahun dan mereka yang berdaftar secara automatik sebagai pengundi.

Kempen di negeri ini juga akan berteraskan belia, dengan tumpuan kepada peluang pekerjaan, kualiti hidup dan pendidikan, kata sumber.

Menyedari bahawa Muda sedang menarik pengundi muda, sumber MCA berkata parti itu masih yakin kerana Muda “masih sangat baru”.

“Pengundi tidak biasa dengan mereka. Setelah berkata demikian, kita tidak boleh memandang rendah mereka.

“Dengan pendaftaran pemilih automatik bermula, terdapat 780,000 pengundi baharu ditambah ke dalam daftar pemilih bagi Johor.

“BN tidak akan mengambil mudah perkara ini. Kita hanya boleh mendapat sokongan jika kita mendengar suara pengundi,” kata mereka. – 18 Februari, 2022.

Iklan
Iklan