KKM lapor 26,701 jangkitan baharu Covid-19
Iklan
MALAYSIA mencatatkan 26,701 jangkitan baharu Covid-19 semalam, kedua tertinggi setakat ini tahun ini, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Jumlah kes tertinggi direkodkan adalah pada 16 Februari apabila 27,831 jangkitan dilaporkan. Kes baharu ini menjadikan kes aktif sebanyak 217,782.
Menurut portal CovidNow, terdapat juga 39 kematian semalam, dengan 17 daripadanya meninggal dunia di luar hospital.
Pangkalan data GitHub KKM menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 5,858 jangkitan, diikuti Sabah (4,749) dan Kedah (3,243).
Johor melaporkan 2,856 jangkitan, Kelantan (1,783), Melaka (720), Negeri Sembilan (739), Pahang (1,096), Perak(486), Perlis (285), Pulau Pinang (1,999), Sarawak (278), Terengganu (515), Kuala Lumpur (1,419), Labuan (447) dan Putrajaya (183).
Selangor juga melaporkan jumlah kematian tertinggi semalam dengan 16 kes.
Sabah di tempat kedua dengan 14 kematian.
Negeri lain yang melaporkan kematian ialah Kelantan, Pahang dan Perak yang masing-masing mencatatkan dua kematian, manakala Kedah, Melaka dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan satu kematian.
Di seluruh negara, kadar kebolehjangkitan (Rt) berada pada 1.27 pada 17 Februari, dengan semua negeri juga melaporkan kadar kebolehjangkitan melebihi 1.0.
Labuan mempunyai kadar kebolehjangkitan tertinggi iaitu 1.99.
Kemasukan ke hospital harian Covid-19 berjumlah 2,148, dengan 216 pesakit di unit rawatan rapi (ICU).
Sebanyak 141 daripada mereka yang dimasukkan ke ICU memerlukan bantuan pernafasan.
Penggunaan hospital berjumlah 68%, dengan 62.1% melibatkan kes Covid-19. – 18 Februari, 2022.