Pemain pelancongan optimis, berjaga-jaga pembukaan semula sempadan
Iklan
PEMAIN pelancongan menunggu keputusan muktamad Putrajaya membuka sepenuhnya sempadan negara dan berharap kerajaan ada rancangan mantap bagi mencegah penularan Covid-19 dan sekatan selanjutnya.
Mereka berharap Putrajaya buat kajian mendalam bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan dapat bertahan jika pelancongan antarabangsa menyebabkan satu lagi gelombang jangkitan.
Mereka juga mahu prosedur operasi standard (SOP) yang masuk akal dilaksanakan sebelum pelancong tiba.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata dengan membenarkan pelancong masuk semula bukan perkara enteng, malah masih perlu dikawal bagi memastikan pematuhan SOP Covid-19.
Pelancong asing harus digalakkan untuk mendaftar pakej pelancongan dengan agensi yang akan menyediakan jadual perjalanan tetap dan bertanggungjawab memastikan mereka patuh SOP, katanya.
“Kami mengalu-alukan cadangan (untuk membuka semula sempadan), tetapi kami berharap ia akan dirancang sedemikian rupa untuk menarik pelancong berkualiti yang akan membeli dan mengikuti pakej pelancongan supaya penularan Covid-19 dapat dicegah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Uzaidi berkata demikian sebagai menjawab kemungkinan kerajaan akan membuka semula sepenuhnya sempadan Malaysia tanpa kuarantin pada 1 Mac, seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin.
Pengumuman itu mencetuskan kekeliruan kerana Muhyiddin tidak jelas yang keputusan tersebut masih belum dibuat oleh Putrajaya. Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, yang mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 kemudiannya berkata tarikh itu hanya cadangan MPN dan masih perlu dikaji.
Uzaidi merasakan 1 Mac terlalu awal kerana kerajaan tidak memberikan sebarang butiran lain mengenai SOP untuk membuka semula sempadan.
Langkah jitu sebelum buka sempadan
Bendahari Kehormat Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Nigel Wong berkata protokol perlu dilaksanakan sebelum negara mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa.
Tempoh kuarantin, saringan sebelum masuk, insurans dan kos perubatan sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 di Malaysia, semuanya perlu diambil kira, kata Wong.
“Mereka juga perlu saling berkomunikasi dengan pengusaha pelancongan agar persiapan dapat dibuat kerana banyak pengendali tidak aktif sejak dua tahun lalu,” tambah Wong.
Dengan perancangan yang dimodelkan selepas Gelembung Pelancongan Langkawi, beliau berkata kerajaan akan dapat mengendalikan pelancong yang datang sambil mengurangkan pandemik Covid-19.
“Langkawi telah terbukti berjaya. Kerajaan perlu sempurnakan apa yang telah dilakukan di sana.”
Beliau memetik kajian Persatuan Industri Pelancongan Malaysia yang mempunyai 3,400 ahli yang mendapati Malaysia mungkin menerima pelancong dari Jepun, Korea Selatan, Australia dan India terlebih dahulu apabila sempadan dibuka semula. Pelancong Eropah dan Amerika, bagaimanapun, tidak bercadang untuk datang dalam masa terdekat.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Paul Paw berkata kerajaan perlu melakukan capaian pasaran sebelum buka semula sempadan agar sistem penjagaan kesihatan negara dapat menampung jika berlaku peningkatan kes daripada pelancong.
“Kami syor agar sempadan dibuka secara beransur-ansur seperti yang dilakukan oleh China, Hong Kong dan Taiwan. Pengusaha pelancongan tidak mampu menanggung gelombang Covid-19 lagi yang boleh menyebabkan negara ditutup semula.”
Paw berkata pengusaha pelancongan akan tertekan semula jika kes Covid-19 meningkat malah pelancong akan takut dan mahukan bayaran balik.
“Perniagaan akan menderita lagi. Kami telah belajar dari masa lalu dan tidak berani ambil risiko. Kerajaan perlu pertimbang semua senario dengan teliti sebelum buka semula sempadan sepenuhnya,” kata Paw.
Bagi Sabah, di mana sektor pelancongan amat bergantung kepada pelawat asing, pengurus bahagian Matta negeri Kennedy Fung berkata perlu ada SOP yang ketat.
Beliau juga merasakan kerajaan harus menangani penggunaan ujian RTK-Antigen sebagai alat saringan, kerana ia kadangkala tidak tepat.
“Ia tidak tepat, ada yang hanya tahu mereka positif selepas mereka tiba. Kami gesa kerajaan teliti perkara ini,” kata Fung.
Pada 2019, sebelum pandemik melanda, Malaysia menerima 26.1 juta pelancong dan mendapat RM86.1 bilion, menurut laman web Kementerian Pelancongan.
Pada 2020, berikutan sekatan akibat pandemik Covid-19, angka itu menurun secara drastik kepada 4.33 juta ketibaan pelancong dengan RM12.7 bilion sahaja. – 19 Februari, 2022.