Pulangkan anak-anak saya, rayu ibu
Iklan
IBU tunggal, Loh Siew Hong, tidak peduli jika ketiga-tiga anaknya sudah diislamkan selagi mana mereka dikembalikan kepadanya.
Tiga anaknya itu adalah Thachinamoorthi, 10, dan kembar perempuan Sulochana dan Sulochini berusia 14 tahun.
Loh memberitahu The Malaysian Insight yang walaupun beliau berasa marah kerana orang luar mengislamkan anaknya tanpa kebenarannya, beliau tidak akan memaksa mereka keluar dari Islam.
Chef yang berusia 35 tahun dan bekerja di Genting Highlands itu juga bercerita tentang penderitaan dialaminya selama bertahun-tahun kerana didera bekas suaminya, Nagashwaran Muniandy, yang mencapai kemuncaknya apabila anak-anaknya dilarikan ketika beliau sedang dirawat di hospital kerana dipukul bekas suaminya itu.
Loh yang terdesak mencari anak-anaknya juga bercerita tentang layanan buruk diberikan polis yang langsung tidak membantunya mengesan anak-anaknya walaupun mahkamah sudah memberikan hak penjagaan pada 2019.
Keluarga bekas suaminya juga berpakat membantu menyembunyikan anaknya, katanya lagi. Mereka juga mendesaknya menipu kepada doktor tentang kecederaannya setiap kali beliau menerima rawatan kesihatan.
Walaupun menempuh pelbagai penderitaan dan kesengsaraan kehilangan anak sejak tiga tahun lepas, Loh berkata, ketika ini perkara terpenting adalah kesejahteraan anak-anaknya.
“Bila saya dapat balik anak-anak, saya tak akan paksa mereka keluar dari Islam,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kebajikan dan kesejahteraan mental mereka paling utama. Jika mereka mahu jadi orang Islam, biarlah.
“Saya akan bawa mereka ke masjid jika itu yang mereka mahukan. Ini perkara kecil. Yang saya mahukan hanyalah mereka dikembalikan.”
Apabila anak-anaknya sudah dewasa dan jika mereka memilih untuk kembali ke agama asal, itu juga pilihan yang dibuat mereka sendiri, katanya lagi.
Ketiga-tiga anaknya diislamkan oleh Hidayah Centre Foundation tanpa kebenaran Loh.
Dalam kes M Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan memutuskan yang penukaran agama anak bawah umur perlu mendapatkan kebenaran kedua ibu bapa.
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, bagaimanapun berhujah yang undang-undang negeri membenarkan penukaran agama dibuat salah satu pihak dan kerana itu anak-anak Loh yang diislamkan oleh bekas suaminya adalah sah menurut undang-undang negeri.
Katanya undang-undang yang diluluskan pada 2016 oleh DUN Perlis membenarkan mereka yang mahu mengislamkan anak mereka dengan kebenaran sama ada bapa atau ibu anak tersebut.
Loh adalah wanita berketurunan Cina-India dan mengamalkan ajaran Hindu. Anak-anaknya juga dibesarkan dalam agama itu. Tidak dapat dipastikan jika bekas suaminya masih seorang Hindu atau sudah memeluk Islam. – 19 Februari, 2022.