2 penentang DAP diumum sebagai calon PRN Johor
Iklan
DUA penentang DAP diumumkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang selaras dengan persetujuan yang dicapai antara puak bahagian negeri parti itu dan kepimpinan nasionalnya.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengumumkan penyandang Ng Yak Howe akan mempertahankan kerusi Bentayan manakala Yeo Tung Siong akan bertanding semula di kerusi Pekan Nenas.
Ng pertama kali bertanding di Bentayan pada 2018, manakala Yeo memegang kerusi itu sejak 2013.
“Pilihan raya negeri ini lebih penting berbanding pilihan raya negeri lain yang sudah berlangsung. Ini pilihan raya yang akan menentukan masa depan rakyat,” kata Lim pada sidang media di Kulai.
“Pilihan raya negeri ini bukan hanya soal calon, ia juga bukan soal parti, ia juga soal rakyat.
“(Calon-calon ini) akan memberi kami peluang yang lPiliebih baik untuk menang.”
Turut hadir pada sidang media itu setiausaha penganjur parti Anthony Loke, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, Timbalan Ketua DAP Gobind Singh, Naib Presiden DAP M Kulasegaran, pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat DAP Tan Kok Wan dan Timbalan Ketua DAP Johor Teo Nie Ching.
Ng dan Yeo adalah antara lima Adun DAP yang didakwa bertelagah dengan pucuk pimpinan parti Johor.
Kelima-lima mereka didakwa menjadi sebahagian daripada puak DAP Johor yang menentang ketua parti negeri Liew, timbalannya Teo dan Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin.
Tiga lagi adalah Tan Hong Pin (Skudai), Ee Chin Li (Tangkak) dan Cheo Yee How (Perling).
Portal berita Malaysiakini minggu lalu melaporkan susulan satu mesyuarat dipersetujui bahawa tiga daripada lima penyandang - Ng, Ee dan Yeo akan bertanding semula di kerusi masing-masing bagi PRN Johor.
Dua lagi - Tan dan Cheo digugurkan. Tan bagaimanapun, akan diletakkan pada pilihan raya umum akan datang di kerusi parlimen Labis.
Pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat DAP Tan Kok Wai berkata, beliau yakin parti itu akan dapat mengulangi kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya yakin satu kejayaan akan dicapai pada 12 Mac.
“Pada PRU14, Barisan Nasional ditolak oleh rakyat Johor kerana rasuah dan salah guna kuasa. Saya yakin ini akan berulang lagi.”
Ketika ditanya mengenai Muda dan PKR belum mencapai kata sepakat mengenai peruntukan kerusi PRN, Lim berkata, beliau yakin kedua-dua parti itu akan mencapai kata sepakat tidak lama lagi.
“Saya tidak fikir akan berlaku pertembungan dan mereka akan mencapai kata sepakat seperti DAP dan Amanah.
“Saya ingin mengambil pandangan yang positif,” katanya.
Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac, dengan pencalonan dijadualkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac – 19 Februari, 2022.