Iklan

Awal suku ke-2 tahun ini garis masa realistik buka sempadan, kata Khairy

Raevathi Supramaniam3 years ago19th Feb 2022Berita
50512614053 1e80399b6f b (3)
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata suku kedua tahun ini adalah garis masa realistik untuk negara membuka semula sempadan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2022.
Iklan

SUKU kedua tahun ini adalah garis masa yang lebih realistik untuk negara dibuka semula kepada pengembara antarabangsa, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata kementerian juga diberi masa dua minggu untuk membuat garis panduan bagi pembukaan semula.

“Saya menjangkakan pembukaan semula akan berlaku pada suku kedua tahun ini. Ini adalah garis masa yang realistik.

“Awal suku kedua tahun ini, tetapi masa yang tepat akan ditentukan kemudian,” katanya pada sidang media di Batu Pahat, Johor yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani. 

Khairy berkata apabila garis panduan itu siap ia akan dibentangkan kepada beberapa jawatankuasa untuk diteliti dan seterusnya kepada Kabinet.

“Perdana menteri sudah mengarahkan saya membuat garis panduan untuk pembukaan semula sempadan. Beliau memberi tempoh dua minggu kepada kementerian untuk membuat garis panduan itu.

“Ini tidak bermakna sempadan akan dibuka semula dalam masa dua minggu, cuma kita sediakan garis panduan.

“Kami kini sedang membuat garis panduan, prosedur operasi standard dan keputusan yang perlu dibuat di peringkat Kabinet.

“Apabila sudah siap saya akan membentangkannya kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dan Mesyuarat Peringkat Menteri Kuartet Covid-19 sebelum dibentangkan kepada Kabinet,” katanya.

Keputusan mengenai pembukaan semula itu tidak boleh dibuat di peringkat kementerian kerana melibatkan dasar, katanya.

“Ia melibatkan dasar. Ia perlu melalui beberapa peringkat sebelum diumumkan,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan sama ada untuk membuka semula sempadan perlu diteliti dengan wajar kerana kerajaan sudah menerima banyak maklum balas mengenai perkara itu terutama berkaitan garis panduan kesihatan berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

“Kalau boleh kita nak buka semula ekonomi, terutamanya pendapatan daripada pelancongan ini besar, jadi boleh membantu negara, tetapi dalam masa yang sama kita perlu lindungi rakyat kita, jadi keseimbangan ini yang sedang dicari oleh KKM. 

“Kita dah beri tempoh kepada KKM dalam masa dua hingga tiga minggu, mereka kena bentang dalam kabinet untuk kita buat keputusan… sama ada kita hendak buka terus sempadan kita, ataupun masih lagi ada sekatan-sekatan (melibatkan) negara-negara terpilih,” katanya semalam.

Minggu lalu Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin berkata sempadan boleh dibuka semula sepenuhnya seawal 1 Mac manakala syarat kuarantin mungkin dibatalkan.

Bekas perdana menteri itu berkata ekonomi tidak dapat pulih sepenuhnya jika sempadan negara masih ditutup.

Beliau berkata majlis itu akan menyarankan kepada Putrajaya supaya Malaysia membuka sempadannya secara berperingkat bagi menyambung semula aktiviti ekonomi.

Sempadan Malaysia ditutup kepada pelancong antarabangsa sejak Mac 2020 apabila negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengecualian bagaimanapun diberikan kepada penduduk tetap, pasangan, perjalanan kerja dan pelajar. – 19 Februari, 2022.

Iklan
Iklan