Iklan

Umno bahagian mahu rebut kerusi Pekan Nenas dari MCA

Mohd Farhan Darwis3 years ago19th Feb 2022Berita
49933386156 f28d3d61d4 b
Umno percaya kerusi DUN Pekan Nenas dalam Parlimen Tanjung Piai boleh dirampas kembali BN jika ia diberikan kepada parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2022.
Iklan

UMNO Bahagian Tanjung Piai berharap rakan komponennya MCA memberi laluan kepada parti Melayu itu bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nenas pada 12 Mac.

Pemimpin Umno tempatan memberitahu The Malaysian Insight, mereka percaya kerusi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai itu mampu kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN).

Ketua Bahagian Jeffridin Atan berkata, BN mampu merampas DUN dengan hampir 60% pangundi Melayu itu jika ditandingi calon Umno.

Tambahan pula, calon MCA di kerusi itu juga sudah dua kali ditolak pengundi iaitu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 dan 2018, katanya.

“Pekan Nenas kita (Melayu) majoriti, dua kali MCA kalah. Takkan nak bagi (bertanding) lagi?

“Strategi apa dalam parti macam itu, orang sama saya dengar nak diberi masuk (bertanding), (mungkin) kalah kali ketiga, gilalah. Kita main bola sepak pun ada strategi.

“Kalau rasa MCA dah tak mampu kita cuba Umno, mungkin orang terima,” kata Jeffridin.

Jelasnya, seramai 40,000 pengundi Melayu di Tanjung Piai membentuk 57%, melebihi jumlah pengundi Cina seramai 28,000 (30%), selepas pertambahan pengundi muda berusia lebih 18 tahun.

Kerusi DUN Pekan Nenas antara beberapa kawasan yang ditandingi komponen BN dari MIC dan MCA walau dengan jumlah pengundi Melayu melebihi bilangan pengundi kaum lain.

Hasrat Umno untuk bertanding di kawasan seperti Pekan Nenas disahkan setiausaha agung parti Ahmad Maslan.

Beliau pada 7 Februari dilaporkan berkata, tuntutan itu perkara biasa dalam rundingan kerusi namun keputusan akan ditentukan oleh pimpinan tertinggi parti.

Jeffridin pula sewaktu mengulas sentimen di Pekan Nenas berkata mereka bimbang BN hilang kerusi itu buat kali ketiga jika MCA bertegas dengan konsep kerusi tradisi.

Katanya, amalan bertanding di kerusi tradisi sudah tidak lagi relevan memandangkan berlaku perubahan dari segi demografi dan tuntutan pengundi di satu-satu kawasan.

“Soal kerusi mesti diberi ruang kepada pengundi menentukan, bukan kerusi tradisi lagi, saya tak setuju konsep kerusi tradisi.

“Kalau orang yang sama tiap-tiap kali pilihan raya, orang muak. Orang nak perubahan. Kita tak boleh paksa orang terima tokoh yang sama sedangkan orang dah bising menolak,” katanya.

Kebimbangan itu dikuatkan lagi dengan khabar angin bahawa Parti Warisan (Warisan) pimpinan Shafie Apdal akan turut meletak calon Melayu di situ.

“Parti bertanding di pilihan raya sudah semakin ramai. Di Tanjung Piai (khabarnya) Warisan nak masuk, Warisan bakal letak calon Melayu di situ.

“Apa kehendak Melayu di Pekan Nenas? Mungkin nak (calon) Melayu. Kita tak boleh paksa mereka (pengundi) pilih orang yang sama, akhirnya mereka beri kepada DAP, dan sebagainya.

“Kalah dah dua kali hantar (undi kepada lawan), kali ketiga memang tergoleklah jawabnya,” kata ahli Dewan Negara itu.

Tambahnya, hasrat Umno untuk bertanding di kawasan tersebut bukan tindakan keras tetapi berdasarkan logik akal.

“Kita sudah kalah sekali takkan kita tiada keinsafan langsung. Kita nak cari parti boleh menang dan boleh kuasai kerajaan negeri kalau kita kuat.

“Kita nak kembalikan kerusi Pekan Nenas kepada kerajaan BN, itu sahaja,” kata Jeffridin lagi.

DUN Pekan Nenas secara tradisi ditandingi MCA sehinggalah parti itu tewas pertama kali kepada DAP pada pilihan raya umum 2013 dan 2018.

Pada 2018, ia dimenangi calon DAP, Yeo Tung Seong dengan majoriti 1,308 undi dalam pertandingan dua penjuru dengan calon MCA Tan Eng Meng.

Jeffridin berkata, Umno tidak menuntut kerusi tersebut sekiranya calon dari komponen boleh diterima dan menang walaupun di kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Di Kahang contohnya, masyarakat boleh terima, tak pernah kalah. Kita tak kisah, calon menang masyarakat boleh terima, ini kalah dua kali macam mana ceritanya,” tambahnya.

Di kawasan Tenggaroh dengan lebih 80% pengundi Melayu pula menyaksikan calon MIC K Raven Kumar kekal dengan majoriti 5,765 undi menewaskan calon PKR dan PAS dalam PRU14.

Begitu juga kerusi DUN Kahang yang diwakili R Vidyanathan dari MIC. Ia kekal dimenangi BN pada 2014 walau mempunyai lebih 70% pengundi Melayu.

Selain Pekan Nenas, kerusi Pulai Sebatang juga antara kerusi yang disebut-sebut akan dituntut Umno daripada komponen BN.

Kerusi DUN dengan lebih 60% pengundi Melayu itu ditandingi MCA sejak beberapa pilihan raya umum lalu namun pada 2018, penyandangnya Tee Siew Keong tewas kepada calon Amanah.

Muhammad Taqiuddin Cheman menang kerusi itu dengan majoriti 3,395 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon PAS waktu itu Baharom Mohamad memperoleh 2,975 undi. – 19 Februari, 2022.

Iklan
Iklan