VTL Malaysia–Brunei talian hayat industri pelancongan Sarawak
Iklan
BERITA besar yang dinanti-nantikan di bandar utara Sarawak, Miri adalah pembukaan semula sempadan Sarawak–Brunei, khususnya lintasan sempadan di Sungai Tujoh.
Harapan mereka bertambah baik apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada Selasa, Malaysia dan Brunei secara prinsip bersetuju untuk melaksanakan laluan perjalanan vaksinasi udara dan darat (VTL) antara kedua-dua negara.
Sebelum pandemik Covid-19 dan pelaksanaan sekatan perjalanan untuk mengekang penularan virus itu, sejuta rakyat Brunei yang menyeberangi sempadan ke Sarawak setiap tahun, khususnya ke Miri, Limbang dan Lawas pada hujung minggu untuk membeli-belah, makanan, rekreasi dan hiburan membentuk lebih 50% daripada 2.1 juta pelawat asing ke negeri itu.
Pada 2018, 1.32 juta rakyat Brunei melawat Sarawak, majoritinya ke Miri, walaupun pada 2019 jumlahnya menurun sedikit kepada 1.296 juta.
Secara purata, kira-kira 30,000 rakyat Brunei, di negeri yang mempunyai populasi kira-kira 430,000, menyeberang ke Sarawak setiap minggu menjadikan Miri sebagai bandar yang sesak.
Ia satu fenomena yang bukan sahaja biasa dilakukan oleh penduduk tempatan. Mereka mengalu-alukannya.
“Tidak kisahlah dengan kesesakan,” kata Datuk Bandar Miri Adam Yii.
“Ia pusat beli-belah yang sibuk dan kedai makanan serta hotel penuh yang kami mahu lihat,” Yii, yang juga Adun Pujut, memberitahu The Malaysian Insight.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Hamzah, dalam reaksinya terhadap pengumuman VTL itu berkata, berita itu membuatkan beliau teruja.
Beliau berharap ia dapat dilaksanakan segera.
“Brunei adalah pasaran pelancongan terbesar di Sarawak,” kata Karim dan beliau berharap VTL “akan menyaksikan jumlah besar rakyat Brunei kembali ke Sarawak.”
Dolar Brunei yang kukuh, kadar pertukaran pada masa ini adalah B$1 bagi RM3.12, ketiadaan hiburan malam dan sekatan ketat terhadap penggunaan alkohol di negara kesultanan yang kaya dengan minyak itu menjadi sebab mendorong rakyat Brunei ke Miri.
Bukan satu pemandangan yang luar biasa di sempadan Sungai Tujoh apabila kereta berdaftar Brunei melintasi sempadan dengan penuh barangan pada hujung minggu ketika mereka pulang ke tanah air mereka.
Pemanduan dari Brunei ke Miri juga agak singkat di jalan yang baik.
Dari ibu kota kesultanan Bandar Seri Begawan, perjalanan sejauh 155km ke Miri hanya mengambil masa kira-kira dua jam, manakala dari Seria, satu lagi bandar utama negara itu, ia mengambil masa kira-kira sejam bagi perjalanan sejauh 61.6 km.
Malah lebih dekat lagi bagi rakyat Brunei yang tinggal di daerah Temburong untuk ke Limbang atau Lawas di utara.
Mereka mengambil masa hanya beberapa minit untuk sampai ke bandar itu.
Temburong adalah sebidang tanah yang terletak antara Limbang dan Lawas.
“Miri akan mengalu-alukan rakyat Brunei untuk datang membeli-belah dan berehat,” kata Yii.
“VTL (adalah) berita yang paling dialu-alukan bagi Miri.”
Yii berkata, pembukaan semula sempadan juga akan membantu menyatukan semula keluarga.
Beliau merujuk kepada ribuan rakyat Miri yang bekerja di Brunei yang “terkandas” susulan penutupan sempadan.
“Mereka kini boleh berharap untuk kembali dan bertemu keluarga mereka semula.”
Pembukaan semula sempadan juga akan menarik balik sekatan pergerakan orang dan barangan antara Miri dan Limbang dan Lawas.
Hanya ada satu jalan dari Miri ke Limbang dan Lawas dan ia melalui Brunei.
Brunei pada masa ini hanya membenarkan pengendali pengangkutan berdaftar Sarawak yang diberi vaksin dengan permit merentas negeri yang dikeluarkannya untuk penghantaran import barangan keperluan.
Penjawat awam Sarawak bagi perjalanan rasmi kerajaan, pelajar dan perkhidmatan kecemasan yang perlu melakukan transit, contohnya dari Miri ke Limbang atau Limbang ke Lawas, mesti mendapatkan pengesahan perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan mereka sebelum melakukan transit. – 21 Februari, 2022.