Iklan

PRN Johor simulasi PRU15, kata penganalisis

Mohd Farhan Darwis3 years ago22nd Feb 2022Berita
Johor
PRN Johor penting sebagai medan ujian parti politik menentukan hala tuju masing-masing untuk menghadapi PRU15, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2022.
Iklan

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor penting sebagai medan ujian parti politik menentukan hala tuju masing-masing untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Mereka melihat parti politik yang bakal bertanding cuba membuat jangkaan melalui PRN Johor untuk digunakan sebagai panduan sewaktu pilihan raya umum.

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali melihat setiap perkembangan menjelang hari pengundian 12 Mac sebagai simulasi terakhir parti politik untuk menguasai Putrajaya.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, ia dapat dilihat melalui tindakan strategik PAS untuk terus bekerjasama dengan Bersatu dan meninggalkan Umno dalam PRN Johor.

“PRN ini penentu kepada PRU15 kerana kerangka PRU15 itu dapat dilihat jelas dalam PRN Johor, kebanyakan parti politik juga sedang melakukan simulasi terakhir.

“Bila Bersatu dan PAS bergabung di PRN Melaka dan kemudian bergabung lagi di Johor itu menunjukkan Umno dan PAS takkan bersama untuk PRU15.

“Jadi untuk pilihan raya umum, cerminannya ada di Johor,” katanya.

Keputusan PRN itu juga seterusnya akan menentukan untung rugi yang akan dialami setiap parti atas strategi mereka, katanya.

“Untuk Pakatan Harapan (PH) pula Muda pun dah sertai mereka, itu gambaran politik pembangkang masa hadapan, (di Johor juga) kita akan lihat beberapa penyesuaian politik,” katanya.

Tambah Mazlan, percaturan parti seperti Pejuang juga akan menentukan perkembangan yang akan berlaku dalam PRU15.

“Pejuang pula belum sertai lagi khemah besar PH, tapi perbincangan itu ada. Selepas penamaan calon di Johor kita boleh katakan PRN Johor akan menentukan hala tuju negara pada PRU15.”

Peluang BN cerah

Beliau seterusnya melihat gabungan BN berpeluang cerah untuk membentuk kerajaan negeri, dengan syarat peratus keluar mengundi di bawah 60%, kata Mazlan.

Ini kerana Umno, yang menjadi tunjang kepada BN hanya bergantung kepada pengundi tradisional mereka iaitu kelompok komuniti Melayu di kawasan kampung dan pengundi peneroka Felda.

“Sekiranya peratus keluar rendah, Umno akan menang besar, mungkin dua pertiga, tetapi sekiranya kadar keluar mengundi lebih 80% kemungkinan PH boleh kuasai kawasan campuran di bandar.

“Umno biasanya menang di kawasan majoriti Melayu tapi kali ini ada saingan dari Perikatan Nasional (PN), parti ini akan mengambil sebahagian undi Melayu Umno,” kata Mazlan.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Sani pula berpandangan rekod panjang pentadbiran BN selama lebih 60 tahun juga akan menjadi pertimbangan pengundi.

Beliau melihat pemilih berkenaan mencari kumpulan yang mampu memberikan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan.

“Rekod prestasi parti yang baik akan mendapat sokongan, penyandang akan menerima kelebihan dan dalam konteks ini BN adalah penyandang kerajaan.

“BN ada rekod prestasi yang panjang, walaupun ada isu, tetapi rekod itu yang mereka (pengundi) lihat,” kata Azizuddin kepada The Malaysian Insight.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) pula berpandangan pembubaran Parlimen tidak dapat dielakkan sekiranya BN menang besar di PRN Johor.

“Sekiranya BN menang besar, mungkin sekurang-kurangnya 37 kerusi daripada 56 kerusi, saya kira pilihan raya umum tidak dapat dielakkan.

“Keputusan PRN ini akan datang bakal dijadikan momentum besar untuk PRU15 kerana BN yakin mereka sudah kembali pulih dan mampu menjadi kerajaan,” kata Awang Azman.

Pakatan bermasalah kekal sokongan

Penganalisis meramalkan gabungan pembangkang terbesar ini berpeluang mencabar BN dalam PRN Johor hanya jika peratusan keluar mengundi sekitar 80%.

Namun peratusan keluar mengundi dalam Johor hanyalah sekitar 75%, kata Mazlan.

Beliau melihat blok pembangkang itu banyak bergantung kepada pengundi bandar dan juga pengundi muda, serta kelompok atas pagar yang majoritinya berada di luar kawasan.

Beliau turut menjangka PH bermasalah dalam mengekalkan momentum sokongan pengundi Cina selain pengundi Melayu yang kini terpecah kepada BN dan PN.

“PH mungkin boleh dapat dalam 10% undi Melayu, selebihnya undi Cina dan pengundi luar. PH ada masalah juga, komponen PN dan BN akan ambil sedikit undi Cina.

“Dalam tinjauan saya, sokongan Cina tak kukuh macam PRU14, mereka ada kecewa sikit dengan DAP masa mereka memerintah 22 bulan dulu.

“Di Johor juga saya lihat berbeza berbanding pengundi Melaka, orang Johor menyatakan minat untuk keluar mengundi tinggi, ada keazaman dan mereka mahu keluar mengundi,” kata Mazlan.

Azizuddin pula melihat krisis dalaman PH menjadikan gabungan itu tidak stabil dan mula hilang sokongan, khususnya anak muda yang kebiasaannya mengundi mereka.

Katanya, PH berisiko mengulangi sejarah di PRN Melaka dan hilang kerusi mereka jika gagal mengepung sokongan anak muda.

“Dulu orang muda coraknya mengundi PH, sekarang orang muda ada kepelbagaian dalam pengundian.

“Sama ada mereka kekal trend dulu atau tidak, sentimen Bangsa Johor, trend pengundian akan berubah sedikit, kalau berubah kepada BN itu ancaman kepada PH,” kata Azizuddin.

Perikatan mula hilang populariti

Awang Azman pula menjangka Perikatan Nasional (PN) akan cuba mengekalkan imej sebagai bekas kerajaan supaya kekal relevan kerana gabungan itu semakin hilang populariti.

Ini memandangkan pengerusinya Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi perdana menteri, katanya.

“PN pula saya kira sedang berusaha keras tunjukkan mereka relevan. Apabila perdana menteri bukan lagi dari parti itu, ia memberikan impak besar kepada populariti Bersatu.

“Ramai keluar Bersatu, ramai juga dalam Bersatu mereka melihat kalau kembali kepada Umno mereka akan ditolak jadi mereka bersara terus daripada politik. Itu tanda awal Bersatu menjadi tidak relevan,” katanya.

Mazlan pula berpendapat, gabungan itu akan berusaha menewaskan BN dengan meraih sokongan dari pengundi yang pernah memilih PH sewaktu Bersatu bersama PH.

“PN Bukan sahaja cuba untuk mengalahkan BN tapi menarik undi PH. Di Johor bukan sahaja ada PH, PN, ada Warisan, PN ini sebahagian PH dulu, Pejuang juga.

“Semua ini sedikit sebanyak akan menarik sokongan daripada PH, ini akan memperkuatkan BN,” kata Mazlan.

Namun, beliau berpandangan pengaruh Muhyiddin tidak boleh dipandang ringan kerana segelintir pengundi Melayu Johor menyokong bekas menteri besar itu.

“Jangan diperkecilkan sokongan kepada Muhyiddin, orang Melayu sokong dia. Mungkin PN berupaya pecahkan undi orang Melayu.

“Jadi, parti yang bergantung kepada sokongan Melayu mungkin pecah kepada PN dan BN,” kata Mazlan.

Muda sukar bergerak

Azizuddin pula sewaktu mengulas peluang Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjangka parti itu sukar untuk menang di Johor, dalam keadaan PH tidak bersama mereka sepenuhnya.

“Muda susah nak menang. Mereka bergerak sendiri, parti baru dan memerlukan kerjasama. PH pun tak sepenuhnya mahu bersama Muda, mereka ada matlamat masing-masing.

“Muda juga dilihat cuba ambil sebahagian rancangan mereka, kerjasama ini bukan kerjasama rasmi itu yang susah,” katanya.

Mazlan pula melihat Muda bijak mengeksploitasi sokongan melalui penggunaan media sosial yang dikuasai golongan muda.

“Kelebihan kepada Muda, mereka pandai yakinkan orang muda. Mereka gunakan media sosial, sambutan di media sosial tinggi.

“Orang luar yang balik mengundi ini biasanya akan undi pembangkang PH apabila Muda kerjasama PH, mereka boleh menarik orang untuk balik mengundi,” katanya.

Pejuang, Warisan luntur pengaruh Pakatan

Mazlan ketika menilai peluang Pejuang dan Warisan pula berpandangan, Pejuang dan Warisan sedang menguji parti masing-masing dalam PRN Johor.

Parti-parti ini juga katanya tidak mempunyai pengundi teras sekali gus menyukarkan gerak kerja mereka mendapatkan kepercayaan pengundi.

“Dr Mahathir Mohamad, pengerusi Pejuang sebenarnya tidak popular di Johor, mereka akan dapat undi sedikit tapi untuk menang memang susah,” katanya.

Warisan pula dijangka berupaya menarik kumpulan pengundi yang kecewa dengan mana-mana gabungan dan diluahkan melalui undi protes, katanya.

Namun penyertaan mereka dalam PRN kali ini dijangka menjejaskan peluang PH dan PN berbanding BN.

“Umno mempunyai pengundi teras Melayu yang tetap. PH dan PN, pengundi mereka boleh berubah-ubah,” katanya.

Awang Azman melihat parti seperti Pejuang, Warisan dan Muda akan menggunakan keputusan PRN Johor untuk tawar-menawar dengan pihak lain bagi menghadapi PRU15.

“Ia merupakan saringan awal untuk kerjasama lebih besar dalam PRU15, mereka yang tak dapat asas memenangi kerusi sudah tentu bukan pilihan utama parti politik dominan pada masa akan datang.

“Mana-mana parti yang mempunyai prestasi tinggi dalam PRN Johor akan menjadi tempat parti lemah dan baru yang tidak mendapat tempat dalam PRN ini untuk cuba bekerjasama,” katanya.

Tambah Awang Azman, pemenang di PRN Johor juga ada kuasa tawar-menawar yang tinggi berbanding parti kurang berprestasi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon PRN Johor berlangsung pada 26 Februari. – 22 Februari, 2022.

Iklan
Iklan