Muda umum tiga lagi calon PRN Johor
Iklan
PARTI Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan tiga lagi calon yang diketengahkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tiga calon itu ialah dua Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat iaitu Lim Wei Jiet dan Nurafiqah M. Zulkifli yang masing-masing akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan Kepong, serta Ketua Muda Johor Azrol Rahani yang dipertaruhkan di DUN Bukit Permai.
Nama mereka diumumkan oleh Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu majlis di Labis, hari ini.
Lim, seorang peguam yang juga antara pengasas bersama Muda, lahir dan membesar di Muar, Johor.
Anak kepada pasangan guru itu mendapat pendidikan awal Sekolah Tinggi Muar sebelum menyambung pengajian tinggi di Universiti Malaya dan meraih ijazah sarjana muda undang-undang.
Nurafiqah, yang juga pengasas bersama Muda, lulusan sarjana muda perancangan bandar dan wilayah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau sebelum ini aktif dalam aktiviti pemerkasaan masyarakat sivil dan program kepimpinan anak muda di dalam dan luar negara antaranya di Indonesia, Thailand, Myanmar, Kemboja, Singapura, Jerman dan United Kingdom.
Sementara itu, Azrol yang merupakan antara pengasas Muda di Johor adalah generasi ketiga peneroka Felda yang kini bekerja sebagai artis pereka animasi.
DUN Bukit Permai yang akan ditandinginya, yang terletak dalam kawasan Parlimen Kulai, mempunyai sebuah kawasan Felda iaitu Felda Taib Andak.
Dengan pengumuman tiga lagi calonnya hari ini, Muda setakat ini sudah mengumumkan empat daripada enam calon bagi PRN Johor.
Pada 14 Februari, Muda mengumumkan setiausaha agungnya Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon bertanding di kerusi Puteri Wangsa.
Muda bertanding enam kerusi yang diagihkan kepadanya oleh DAP dan Amanah.
Rundingan agihan kerusi Muda dengan PKR, iaitu satu lagi parti dalam Pakatan Harapan (PH), gagal mencapai persetujuan.
Johor akan memilih wakil rakyat negeri pada 12 Mac dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.
PRN Johor bakal melibatkan lebih 174,000 pengundi muda berumur antara 18 hingga 20 tahun susulan pindaan undang-undang mengurangkan had umur layak mengundi. Mereka adalah antara lebih 700,000 pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik setakat 21 Januari lepas. – 21 Februari, 2022.