Iklan

Muda hanya tanding kerusi Bersatu, BN menang PRU14, kata Syed Saddiq

Mohd Farhan Darwis3 years ago21st Feb 2022Berita
51871296519 d405ecfc00 o
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya hanya akan bertanding di kerusi yang disandang Bersatu, Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) bukannya kerusi disandang Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2022.
Iklan

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) terus berteka-teki tentang jumlah sebenar kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas rundingan kerusi dengan PKR buntu.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya hanya akan bertanding di kerusi yang disandang Bersatu, Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) tetapi tidak kerusi disandang parti-parti Pakatan Harapan (PH).

“Komitmen Muda tak bertanding di kerusi penyandang, tak kira DAP, Amanah, atau PKR, kita fokus di kerusi dimenangi Umno dan Bersatu.

“Kerusi yang Muda akan bertanding adalah kerusi Umno atau Bersatu, kita mahu bawa perubahan jangka panjang bukan pilihan raya negeri semata-mata.

“Kita cuba sebaik mungkin untuk cari kata sepakat,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan tiga lagi calon Muda untuk PRN Johor, di Labis, hari ini.

Bersatu menang 8 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi parti itu kemudian meninggalkan gabungan PH melalui percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020.

BN pula menang 17 kerusi tetapi tiga wakil rakyatnya keluar parti untuk kemudian menyertai Bersatu, sementara MIC menang satu kerusi.

Syed Saddiq ditanya mengenai kemungkinan Muda bertanding lebih daripada enam kerusi yang diperolehinya hasil rundingan kerjasama dengan Amanah dan DAP.

“Pencalonan lain kita akan umum dalam tempoh terdekat, jumlah juga akan diumumkan bila masanya tiba, sekarang ada empat, calon lain akan diumum dalam tempoh terdekat,” katanya.

Rundingan Muda dengan PKR dipercayai menemui jalan buntu selepas parti berkenaan selesai mengumumkan bertanding di semua 20 kawasan DUN.

Ketika pelancaran jentera parti di PRN Johor, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menyokong calon Muda sekiranya tiada berlaku pertembungan antara kedua-dua parti.

Ia berikutan Syed Saddiq sebelum ini memberi bayangan Muda sedia melawan PKR jika rundingan agihan kerusi antara mereka gagal dicapai.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata Muda akan cuba sebaik mungkin membantu jentera kempen PH di Johor.

“Selagi mana kita mampu kita cuba sebaik mungkin bantu, kita mahu pembangkang menang, lakukan perubahan di Johor untuk hentikan politik domino, tiada kestabilan politik, dan rakyat dihimpit.

“Muda akan cuba sebaik mungkin bawa tawaran baru kepada rakyat dan bekerjasama dengan mereka yang ada aspirasi yang sama,” tambahnya. – 21 Februari, 2022.

Iklan
Iklan