Iklan

Putrajaya perlu teliti tindakan terhadap EU

Melati A. Jalil7 years ago8th Feb 2018Berita
Palm oil tmi nazirsufari 079
Seorang penysarah ekonomi berkata sebarang tindak balas terhadap rancangan Kesatuan Eropah (EU) menghapuskan minyak kelapa sawit dari campuran biofuel dan tenaga menjelang 2020 tidak harus melibatkan pengharaman ke atas produk import EU. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2018.
Iklan

SEBARANG langkah diambil Putrajaya untuk bertindak balas terhadap rancangan Kesatuan Eropah (EU) menghapuskan minyak kelapa sawit dari campuran biofuel dan tenaga menjelang 2020 tidak harus melibatkan pengharaman ke atas produk import EU. 

Pensyarah Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway, berkata tindakan tersebut akan memberi kesan negatif kepada ekonomi serta menjejaskan kedua-dua belah pihak.

“Lebih baik mengelakkan diri dari langkah itu kerana pada akhirnya ia akan membawa kepada perang perdagangan dan akan membinasakan kedua belah pihak.

“Dan sesetengah produk import merupakan produk penting, jadi sukar untuk mencari pengganti jika berhenti mengimportnya. Saya fikir langkah tindak balas mesti mengkhusus kepada produk,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia tidak mampu untuk bergantung pada hanya satu pengimport.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Eropah adalah pasaran eksport minyak sawit Malaysia kedua terbesar, memintas China pada 2017.

Eropah mengimport 2.06 juta tan metrik, di belakang India yang kekal sebagai pengimport minyak sawit Malaysia tertinggi iaitu pada 2.83 juta tan metrik.

Yeah diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini iaitu Putrajaya sedang mengkaji semula pembelian produk-produk negara EU susulan cadangan parlimen EU mahu mengharamkan biofuel yang diperbuat dari minyak masak, termasuk minyak sawit menjelang 2020.

Cadangan itu katanya akan menjejaskan pendapatan kira-kira 500,000 pekebun kecil di selurun negara dan langkah itu disifatkan satu diskriminasi kerana ia akan merencatkan permintaan minyak sawit. Minyak sawit merupakan salah satu penyumbang eksport berasaskan komoditi terbesar Malaysia bernilai RM71.5 bilion tahun lalu.

Pada November 2017, perdagangan Malaysia dengan EU berjumlah RM15.22 bilion atau 9.7% dari jumlah perdagangan Malaysia. Perdagangan dengan EU mencatatkan kenaikan sebanyak 15.7% dari November 2016. – 8 Februari, 2018.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan