Zahid minta bantuan selesai kes mahkamahnya, kata Dr Mahathir
Iklan
BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pernah menemuinya di kediaman beliau sejurus sebelum menjadi perdana menteri buat kali ketujuh bagi meminta bantuan berhubung kes mahkamahnya.
Dr Mahathir berkata Zahid ditemani beberapa individu semasa lawatan itu.
“Zahid memang datang ke rumah saya bersama beberapa individu, beliau cuba berbaik dengan saya.
“Pada masa itu, ada kemungkinan saya akan menjadi PM. Tetapi saya tahu masalah Zahid ialah beliau mungkin ditangkap kerana jenayahnya.
“Saya juga dengar beliau cuba memastikan kesnya diselesaikan melalui mahkamah. Beliau cuba menghentikan siasatan,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri sekali lagi apabila Pakatan Harapan berkuasa pada 2018.
Awal bulan ini, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada ceramah di Tangkak mendakwa Zahid turut menziarahinya juga, tidak lama selepas beliau menjadi perdana menteri bagi meminta bantuan berhubung kes jenayahnya.
Muhyiddin, yang merupakan presiden Bersatu, berkata beliau enggan membantu, yang menyebabkan Zahid berusaha untuk menggulingkan perdana menteri itu.
Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah lebih berpuluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi, sebuah pertubuhan kebajikan yang diasaskannya.
Zahid bagaimanapun menafikan ada meminta bantuan Muhyiddin untuk menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap presiden Umno itu, dan bersedia melakukan sumpah laknat untuk menyokong penafian itu.
Beliau turut mencabar Muhyiddin melakukan perkara yang sama.
Menjawab cabarannya semalam, Muhyiddin berkata beliau tidak perlu mengangkat sumpah kerana bercakap benar. – 23 Februari, 2022.