Dr Mahathir tidak sertai kempen PRN Johor
Iklan
PENGERUSI Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan berkempen di Johor untuk pilihan raya negeri (PRN) kerana masalah kesihatan.
Bekas perdana menteri itu berkata doktor menasihatinya supaya tidak turut serta dalam program kempen.
“Doktor minta saya berhati-hati, umur saya 97 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
“Orang tua, kalau kena Covid-19, bahaya. Saya hendak pergi (ke Johor), tapi saya tidak boleh. Doktor kata mereka tidak boleh jamin yang saya tidak akan dijangkiti.”
Dr Mahathir mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular, pernah mengalami tiga kali serangan jantuh dan menjalani pembedahan pintasan jantung.
Pada 20 Januari lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dan dirawat selama sebulan.
Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini pernah berkata beliau jangka tidak akan pulih daripada penyakitnya.
“Saya pulih daripada penyakit yang serius, jika ia berlaku lagi, saya tidak tahu bagaimana.
“Saya dalam keadaan baik, saya tahu apa yang berlaku dalam negara, saya tahu siapa dan dapat menyumbang untuk perjuangan Pejuang,” katanya.
Dr Mahathir yang melancarkan Aspirasi Johor Pejuang berkata parti itu akan fokus kepada membanteras rasuah, membentuk kerajaan adil walaupun menjadi parti berasaskan Melayu dan membangunkan ekonomi negeri.
“Pejuang akan berjuang untuk semua, bukan hanya orang Melayu. Membangunkan negara akan memberi manfaat kepada semua.
“Kami akan mengutamakan perjuangan membanteras rasuah. Rasuah akan menghalang semuanya dan menjejaskan pembangunan ekonomi dan politik.”
Beliau turut menegur bekas perdana menteri Najib Razak dan slogannya “malu apa bosku”, berkata perlu ada perubahan dalam budaya tidak tahu malu.
“Ini budaya yang dibawa Najib dan Barisan Nasional. Kita perlu jadi orang bertamadun dan bukan tidak tahu malu.” – 23 Februari, 2022.
Berita penuh di sini.