GPS didakwa salah laku pada PRN Sarawak, menurut kumpulan pemerhati
Iklan
KERAJAAN negeri sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipersalahkan kerana salah laku pilihan raya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Disember lalu, seperti langkah untuk menaik taraf Gedong sebagai daerah dan mengumumkan projek infrastruktur di kawasan itu, kata dua kumpulan masyarakat sivil hari ini.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Rise of Social Efforts (Rose) berkata, tindakan Ketua Menteri sementara Abang Johari Openg menyaksikan salah guna sumber dan aset kerajaan oleh kerajaan sementara.
Abang Johari adalah calon GPS di Gedong dan memenangi kerusi itu.
Bersih dan Rose, yang mengeluarkan laporan pemantauan PRN hari ini berkata, terdapat 60 laporan berkaitan salah laku dan penyelewengan pilihan raya.
Kerajaan sementara juga didakwa menyalahgunakan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), yang berada di bawah Pejabat Ketua Menteri, untuk berkempen bagi empat parti politik dalam GPS.
Dua lagi dakwaan salah laku yang boleh dikenakan kesalahan pilihan raya mengikut undang-undang, termasuk kenyataan yang dibuat oleh timbalan presiden PBB Awang Tengah Ali Hasan ketika berkempen di Bau. Beliau berkata, tiada peruntukan untuk kawasan Opar sekiranya calon GPS di Opar kalah.
Kesalahan lain yang mungkin berlaku adalah kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa projek pembangunan akan sukar dilaksanakan jika kerajaan negeri dan persekutuan daripada pihak yang berbeza dalam konteks politik.
Bersih dan Rose menyatakan Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya menyebut pengaruh tidak wajar daripada parti kerajaan sementara serta kerajaan persekutuan adalah satu kesalahan.
Salah laku lain yang direkodkan adalah oleh Gemong Batu, calon bebas Engkilili, serta See Chee How daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang bertanding di Batu Lintang. Mereka melayan pengundi dengan makanan dan minuman ketika kempen masing-masing.
Gemong didakwa “menyediakan bekalan makanan kepada pengundi” oleh calon PSB Batu Lintang. Chee How didakwa menganjurkan sesi kopi bersama anak muda yang mana makanan dan minuman dibayar olehnya.
Bersih dan Rose menyatakan 60 laporan mengenai salah laku dan penyelewengan pilihan raya adalah “kes yang boleh diperhatikan dan direkodkan oleh pemerhati kami dan sukarelawan lain.”
“Jumlah ini tidak menggambarkan jumlah kesalahan pilihan raya yang ditemui dalam PRN Sarawak kerana kawasan yang dipantau terhad dan mungkin terdapat kes tidak dilaporkan,” jelas mereka.
Selain memantau kempen fizikal, kumpulan itu berkata, mereka juga mempunyai sukarelawan memantau kempen dalam talian di platform media sosial.
Di lapangan, mereka hanya boleh menghantar pemerhati ke lima kawasan – Opar, Satok, Batu Kitang, Batu Kawah dan Gedong.
Secara keseluruhan, PRN Sarawak menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya “mengundur ke belakang” dalam pengurusan pilihan raya, kata kedua-dua kumpulan itu.
PRN Sarawak itu diadakan dari 6 hingga 18 Disember. – 23 Februari, 2022.
Berita penuh di sini.