Iklan

Mengapa komuniti etnik Sarawak tidak boleh jadi pemberi maklumat pembalakan haram

Desmond Davidson3 years ago24th Feb 2022Berita
Logging-tmi
Kerajaan perlu lebih telus mengenai operasi pembalakan dan menjadikan maklumat itu mudah diakses orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2022.
Iklan

MASYARAKAT etnik Sarawak di pedalaman tidak mampu atau sanggup menjadi mata dan telinga kerajaan terhadap aktiviti pembalakan haram, kata seorang aktivis alam sekitar.

Peter Kallang, pengerusi Save Rivers, berkata cadangan Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hassan menunjukkan betapa terputusnya hubungan pemimpin kerajaan negeri daripada penduduk asli luar bandar yang tinggal jauh di kawasan hutan Sarawak.

Satu daripadanya, sukar untuk mengetahui sama ada operasi pembalakan itu haram atau tidak.

“Bagaimana mereka tahu apabila tidak mempunyai akses kepada maklumat?” kata Kallang.

“Mereka tidak akan tahu sama ada syarikat pembalakan beroperasi dalam kawasan konsesi atau di luar konsesi mereka.

“Mereka tidak pernah dimaklumkan tentang siapa dan syarikat mana atau kawasan konsesi yang diberi.”

Melainkan kerajaan lebih telus mengenai operasi pembalakan dan menjadikan maklumat itu mudah diakses, adalah sukar untuk orang ramai mengetahui dan mengambil tindakan.

Awang Tengah yang juga menteri sumber asli kedua negeri berkata, masyarakat etnik di pedalaman negeri perlu terlibat secara aktif dalam usaha membanteras pembalakan haram dengan memberi maklumat sekiranya terserempak aktiviti seumpama itu di kawasan mereka.

Berjanji untuk merahsiakan identiti pemberi maklumat, beliau berkata maklumat mereka boleh membawa kepada tindakan pantas oleh Jabatan Hutan dan agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan.

Tetapi Kallang berkata Awang Tengah nampaknya tidak menyedari apa yang dihadapi oleh masyarakat.

Kallang menambah ramai penduduk tempatan juga kecewa dengan pihak berkuasa.

Beliau berkata pengalaman lepas membuatkan mereka berasa yang tindakan memaklumkan Jabatan Hutan mengenai aktiviti pembalakan haram yang disyaki adalah sia-sia.

“Mereka berasa mengadu kepada jabatan hanya membuang masa. Selalunya tiada tindakan diambil, melainkan terdapat kes jelas syarikat balak menceroboh tanah mereka,” kata Kallang.

Pergi ke jabatan untuk membuat laporan memerlukan masa dan, lebih penting lagi, wang, yang mereka tidak punyai.

Faktor ketiga dan paling penting ialah dakwaan ugutan dan ancaman oleh syarikat pembalakan terhadap pemberi maklumat, kata Kallang.

“Jadi, siapa yang sanggup menjadi pemberi maklumat?”

Kallang mendakwa “ramai orang diancam oleh syarikat balak”.

Pengerusi Save Rivers itu memberi contoh dirinya dan tiga ketuanya yang menghadapi saman fitnah RM5 juta daripada Samling Group, sebuah syarikat pembalakan terbesar di negeri itu.

Samling mendakwa reputasi syarikat tercemar dengan niat jahat siaran dalam talian Save Rivers antara Jun 2020 dan Mac 2021.

Artikel itu mendakwa syarikat tidak berunding dengan komuniti orang asli dan menceroboh kawasan yang merupakan sebahagian daripada tanah mereka. – 24 Februari, 2022.

Iklan
Iklan