Iklan

Dakwaan program pulih pengganas gagal tak tepat, kata timbalan menteri

Melati A. Jalil7 years ago8th Feb 2018Berita
Police bukit jalil 250517 tmiseth 003
Jumlah serangan pengganas dan mereka yang ditahan bukti kejayaan program, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2018.
Iklan

PENGKRITIK program pemulihan dan integrasi militan (RnR) terkhilaf apabila mengatakan wujudnya kegagalan dalam program itu kerana kerajaan mengukur keberkesanan program itu berasaskan jumlah sebenar kejadian berkaitan pengganas di Malaysia, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed.

Jumlah kejadian berkaitan pengganas yang rendah menunjukkan usaha pencegahan dan pemulihan dilakukan kerajaan berjaya, katanya mengulas kritikan dikeluarkan badan pemikir, Iman Research mengenai program pemulihan militan dilaksanakan Putrajaya.

“Setakat ini, hanya serangan di Movida, Puchong diklasifikasikan sebagai berkaitan pengganas,” katanya kepada The Malaysian Insight merujuk kepada kejadian berlaku pada 2016 apabila dua pengganas melontar bom tangan ke kelab malam Movida, di Puchong, Selangor menyebabkan lapan orang cedera.

“Perlu ditekankan yang jumlah suspek berpotensi jadi pengganas masih kecil, diukur berdasarkan jumlah yang ditahan.

“Tak mungkin untuk pulihkan setiap tahanan tetapi matlamat pemulihan adalah menghalang mereka jadi pelampau yang boleh sebabkan keganasan,” katanya lagi menambah yang matlamat kerajaan adalah pencegahan pelampau termasuklah keganasan.

Pengarah Program Iman Research  Badrul Hisham Ismail berkata kajian mereka mendapati majoriti pengganas yang “dipulihkan” masih mempercayai kepercayaan asal mereka dan terus memberikan bantuan kewangan kepada kumpulan pengganas.

Beliau menamakan tiga pengganas Malaysia paling dihendaki iaitu Yazid Sufaat, Mohd Lotfi Ariffin dan Rafi Udin sebagai contoh kegagalan program itu.

Lotfi dan Rafi adalah dua antara ramai lagi pengganas yang badan pemikir itu percaya sudah kembali menyertai kumpulan pengganas atau terus memegang kepercayaan pelampau walaupun sudah melalui dan menyempurnakan program anjuran kerajaan.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata kebanyakan mereka yang ditahan tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh dan boleh dipulihkan dengan mudah.

Katanya tiga orang tidak bermakna program itu gagal.

“Hakikatnya kita sudah menahan ratusan suspek yang sangat kecil kalau dibandingkan dengan jumlah penduduk.

“Saya tak tahu dari mana Iman dapat fakta mengenai jumlah rakyat Malaysia yang tinggi terlibat dalam keganasan,” katanya.

Beliau turut mengatakan, kerajaan sentiasa menyemak program pemulihan bagi meningkatkan keberkesanannya.

“Lebih daripada 95% tahanan menyertai program ini sehingga tamat. Kemudiannya, mereka juga dipantau selepas dibebaskan.

“Proses pemulihan adalah proses sepanjang hayat,” katanya.

Menurut Iman Research, salah satu sebab program itu gagal adalah kerana ia menggunakan pendekatan “top-down” dan hanya melihat aspek keagamaan dalam keganasan.

Kerana itu, Nur Jazlan menjelaskan program awal perlu distrukturkan secara “top-down” bagi memastikan tahanan patuh kepadanya.

“Dan memandangkan hampir semua tahanan adalah orang Islam, kerana itu modul agama (digunakan) untuk menerap kesedaran mengenai ajaran Islam sebenar yang tak ganas, perlu diajar kepada mereka.

“Selepas mereka dipulihkan dan disahkan oleh pakar kami, kerajaan akan memulakan proses mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat dan ini akan melibatkan faktor lain seperti keluarga, masyarakat dan majikan,” katanya. – 8 Februari, 2018.

Iklan
Iklan