Semua calon Perikatan bersih, kata Muhyiddin
Iklan
SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijamin bersih dari sebarang kontroversi termasuk rasuah dan salah guna kuasa, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata kesemua 56 calon PN menjalani saringan latar belakang yang ketat, selari dengan matlamat parti untuk menjadikan Johor bersih dari rasuah.
“Saya minta jangan bazir masa bicara sama ada calon ini layak atau tidak. Mereka semua sudah disaring hantar kepada Polis Diraja Malaysia.
“Semak, jangan ada pula kes seperti kluster mahkamah. Nama mereka turut disemak di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi.
“Saya yakin semua ini layak dan bila mereka serah borang semua calon akan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya sewaktu memperkenalkan calon PN petang ini melalui siaran Facebook.
Istilah kluster mahkamah itu merujuk kepada pemimpin berdepan kes mahkamah dalam Umno, parti yang masih menjadi rakan kerjasama PN dalam kerajaan persekutuan.
PN mempertaruhkan calon paling ramai dengan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri itu.
Beliau berkata, PN juga akan meneruskan amalan mewajibkan semua calonnya menandantangani akaun aku janji menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Calon PN selepas beberapa hari ke depan ini langkah pertama mereka akan mengambil sumpah aku janji menolak segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan berpegang kepada prinsip amanah. Ini kita buat semasa PRN Melaka dan kita teruskan.
“Sejujurnya saya lihat hanya PN sahaja yang berani minta calonnya angkat sumpah supaya mereka dapat menjauhkan diri mereka daripada amalan rasuah dan salah guna,” katanya.
Muhyiddin berkata, daripada 56 calon yang ditampilkan PN, 33 daripadanya adalah Bersatu, 15 PAS dan 8 Gerakan.
Manakala senator Isa Ab Hamid adalah calon yang dipertaruhkan PN bertanding di kerusi DUN Benut menentang Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.
Pada masa sama Muhyiddin berkata, PN dijangka akan mengumumkan calon menteri besar mereka dalam masa terdekat.
PN juga bercadang untuk melancarkan manifesto bagi PRN Johor pada 1 Mac, katanya. – 24 Februari, 2022.