Iklan

DAP umum Chin Tong tanding Perling, Marina di Skudai

Mohd Farhan Darwis3 years ago24th Feb 2022Berita
Dap prn fb 24022022
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ketika mengumumkan calon parti itu bagi kerusi Perling dan Skudai hari ini. – Gambar Facebook, 24 Februari, 2022.
Iklan

DAP hari ini mengumumkan dua calon terakhir mereka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN Johor) pada 12 Mac ini.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling dan Marina Ibrahim diletakkan di DUN Skudai.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Johor hari ini.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke dalam ucapannya berkata, DAP mengharapkan kemenangan buat calon mereka sekali gus menubuhkan kerajaan bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) di Johor.

“Setiap calon mewakili lambang PH dan DAP, ini tanggungjawab untuk memastikan kita buat yang terbaik demi menjaga imej parti sepanjang kempen dan perkhidmatan.

“Bagi calon yang tidak terpilih, kita bertanggungjawab memenangkan calon kita tak kira siapa, kita sumbangkan tenaga untuk kemenangan parti,” katanya.

Turut hadir pada majlis hari ini penasihat DAP Lim Kit Siang.

Marina menyertai Sheikh Omar Ali, yang mempertahankan kerusi DUN Paloh menjadi wakil Melayu yang dicalonkan DAP pada PRN Johor kali ini.

Calon lain termasuk Ng Kor Sim (Jementah), Kanan Mariappan (Bekok), Ee Chin Li (Tangkak), Ng Yak Howe (Bentayan), Tee Boon Tsong (Yong Peng) dan Gan Peck Cheng (Penggaram).

DAP juga mencalonkan Chew Chong Sin (Mengkibol), Liow Cai Tung (Johor Jaya), Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Wong Bor Yang (Senai) dan Yeo Tung Siong (Pekan Nenas).

DAP turut menyerahkan watikah kepada setiap calon mereka yang bertanding pada majlis itu.

Daripada 56 kerusi DUN, DAP menerima kuota 16 kerusi, namun bagi PRN kali ini parti itu menyerahkan dua kerusi kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya.

Amanah pula menyerahkan empat kerusi daripada 20 kerusi yang sepatutnya mereka tandingi kepada Muda.

PKR pula meletakkan calon di semua 20 kawasan DUN sekali gus menyaksikan Muda meletakkan calon mereka di DUN Larkin, yang turut ditandingi PKR. – 24 Februari, 2022.

Iklan
Iklan