DAP kecewa Syed Saddiq tidak tanding PRN Johor
Iklan
DAP kecewa apabila Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata parti itu sangat mengharapkan Syed Saddiq, yang juga ahli Parlimen Muar turut sama bertanding dalam PRN itu dan menjadi contoh kepada anak buah.
“Saya lihat Syed Saddiq tak bertanding, kita harap beliau bertanding, itu terpulang pimpinan Muda, seorang pemimpin harus menangi usaha menang pilihan raya dan memimpin agenda yang dibawa.
“Kita mesti memimpin dari depan bukan dari belakang,” kata Lim kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon terakhir DAP dan penyerahan watikah kepada semua 14 calon parti itu di Senai, Johor petang tadi.
Majlis itu menyaksikan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong diumumkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling dan Marina Ibrahim bagi kerusi DUN Skudai.
Lim berkata, walaupun Liew enggan bertanding, beliau akur kehendak parti untuk dicalonkan memandangkan beliau menjadi contoh kepada ahli parti.
“Chin Tong enggan bertanding, tapi kami sebut pemimpin kena memimpin dari depan bukan belakang, akhirnya akur untuk bertanding,” kata Lim.
Ahli Parlimen Bagan itu turut menyeru pimpinan PKR dan Muda berbincang lebih mendalam memandangkan berlaku pertembungan di kerusi DUN Larkin antara kedua-dua parti.
“Itu sesuatu yang kita harap dapat sembang lagi, musyawarah supaya dapat elak pertembungan. Saya harap dua-dua pihak duduk dan bincang lagi. Ini hanya mengenai satu kerusi. Kita harap dapat capai kata sepakat.
“Kalau boleh cuba capai kata sepakat elak pertembungan, walaupun satu kerusi, kita tak mahu jadi seperti PN dan BN,” katanya.
Muda tetap meletakkan calon mereka di kerusi itu walaupun mengetahui PKR sudah meletakkan calon mereka terlebih dahulu.
Muda akan menampilkan Rasid Abu Bakar di Larkin manakala PKR sebelum ini sudah mengumumkan akan meletakkan Dr Zamil Najwah Arbain di kerusi itu.
Muda diperuntukkan enam kerusi melalui rundingan bersama DAP dan Amanah namun parti itu meletakkan calon ketujuh mereka di Larkin. – 24 Februari, 2022.