Iklan

Peniaga Cina Terengganu keliru arahan tutup kedai waktu solat Jumaat

Diyana Ibrahim3 years ago25th Feb 2022Berita
50043341178 cf3134e521 b
Peniaga kaum Cina di Terengganu keliru apabila diarahkan menutup operasi perniagaan selama dua jam sewaktu solat Jumaat berikutan penguatkuasaan yang tidak selaras. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2022.
Iklan

SEBILANGAN peniaga kaum Cina di Terengganu masih keliru dengan arahan penutupan operasi premis perniagaan selama dua jam sewaktu solat Jumaat kerana penguatkuasaan yang tidak selaras.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, jika diberi pilihan dan kelonggaran ada peniaga yang tidak mahu menutup operasi perniagaan mereka semasa solat Jumaat.

Bagaimanapun, rata-rata peniaga ini tiada masalah dengan arahan tersebut kerana memahami dan menghormati masyarakat Islam di negeri itu, kata mereka.

Seorang pemilik kedai runcit di Kuala Terengganu yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 65 berkata peniaga keliru kerana melihat arahan tersebut tidak selaras.

Malah Lee juga tidak pasti adakah polisi itu turut terpakai kepada peniaga yang bukan Islam.

Peniaga itu berkata beliau bagaimanapun tetap menutup operasi kedainya semasa solat Jumaat  sejak enam tahun lepas biarpun tidak pasti adakah peraturan itu diwajibkan kepadanya atau tidak.

“Saya sebenarnya OK sahaja dengan penutupan selama dua jam. Lagipun saya ada pekerja Melayu dan pelanggan saya juga Melayu. Dari sudut itu kita sangat memahami.

“Cuma saya tidak pasti sama ada ia diwajibkan atau tidak kerana memang semua kedai di sini tutup semasa solat Jumaat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan membuka operasi kedainya jika diberi kelonggaran berbuat demikian, beliau berkata perkara itu sudah pasti akan dilakukannya.

Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu Gan Raymond pula menegaskan, operasi perniagaan sepatutnya tidak perlu ditutup semasa solat Jumaat.

Beliau berkata operator bukan Islam sepatutnya diberi pilihan bergantung kepada jenis perniagaan mereka untuk beroperasi atau tidak semasa solat Jumaat.

Namun sebagai pemilik kedai kasut, beliau tidak kisah menutup operasi perniagaannya semasa solat Jumaat.

“Bagi saya tidak ada isu besar dengan penutupan kedai semasa solat Jumaat. Ia sebenarnya bergantung kepada jenis perniagaan.

“Contoh kalau yang dalam perkhidmatan makanan dan minuman mungkin tidak sesuai untuk tutup ataupun kedai runcit.

“Tapi untuk saya yang membuka kedai kasut rasanya tidak ada keperluan pun untuk saya buka semasa solat jumaat kerana 95 peratus pelanggan saya adalah beragama Islam,” katanya.

Tambahnya, langkah itu malah menguntungkan beliau kerana dapat mengurangkan kos perniagaan.

“Lagipun jika saya buka saya kena bayar caj lebih masa kepada pekerja tapi kalau saya tutup ia lagi jimat. Tapi seperti saya katakan ia bergantung kepada jenis perniagaan juga,” katanya.

Tambahnya, amalan menutup operasi semasa solat Jumaat sudah lama dilaksanakannya sejak 2002 sebelum polisi itu dikuatkuasa dari kerajaan negeri.

Sementara itu Pengerusi MCA Terengganu Teoh Chin Yaw berkata dasar itu tidak wajar dilaksana kerana merampas hak orang bukan Islam yang tidak perlu melakukan ibadah tersebut.

Malah, tiada jaminan dasar itu akan menghalang masyarakat Islam ponteng solat Jumaat, katanya.

Beliau berpendapat, jika kerajaan negeri mahu mendidik masyarakat Islam supaya menunaikan solat Jumaat, ia harus dilakukan melalui pendidikan dan program kesedaran.

“Sebenarnya polisi itu tidak wajar sebab bagi saya jika kita nak utamakan agama kita perlu melalui pendidikan atau program kesedaran.

“Tapi bila kerajaan negeri mengeluarkan arahan tutup pasar raya dan tempat awam ia menghalang orang yang tidak perlu melakukan ibadah lain atau bukan Islam mengadakan aktiviti lain,” katanya.

Tambahnya, larangan itu juga akan menyekat urusan individu lain yang perlu mendapatkan barang keperluan.

“Ia bukan polisi yang baik. Bayangkan kalau ada orang yang perlu dapatkan barang keperluan pada masa itu.

“Tapi mereka tidak boleh buat apa dan perlu bazir masa dengan tidak berbuat demikian. Lagipun bukan semua orang yang perlu ke masjid,” katanya.

Teoh berkata pihaknya mengkritik kerajaan negeri mengenai dasar itu sejak 2014 lagi.

Pada Januari, Majlis Perbandaran Kemaman mengarahkan semua pasar raya di daerah itu supaya menutup operasi dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat.

Ia juga mengarahkan semua premis makanan muslim ditutup selama sejam pada hari Jumaat, antara 1 petang dan 2 petang.

Arahan tersebut bagaimanapun sudah lama diwajibkan di daerah lain di Terengganu sejak 2015 sewaktu pentadbiran Barisan Nasional bagi mengelak belia Islam culas menunaikan solat Jumaat

Kerajaan negeri ketika itu berkata pihak berkuasa tempatan boleh mengenakan denda mandatori RM1,000 terhadap pesalah kali pertama jika gagal berbuat demikian.

Lesen peniaga juga boleh ditarik jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Mengulas kekeliruan yang timbul, exco kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar Alias Razak berkata arahan itu tidak terpakai kepada peniaga bukan Islam.

Katanya, hanya Kemaman yang lewat menguatkuasa peraturan tersebut sedangkan ia sudah lama dilaksana di daerah lain negeri itu, katanya kepada The Malaysian Insight. – 25 Februari, 2022.

Iklan
Iklan