KKM lapor 32,070 jangkitan baharu Covid-19
Iklan
MALAYSIA melaporkan satu lagi rekod kes jangkitan semalam apabila sebanyak 32,070 kes dengan 46 kematian dicatatkan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini adalah hari kedua berturut-turut jangkitan baharu melebihi 30,000 kes. Pada Rabu sebanyak 31,199 jangkitan dilaporkan.
Kes harian berada dalam angka lima digit sejak beberapa minggu lalu disebabkan oleh gelombang Omicron.
Lembah Klang melaporkan sebahagian besar jangkitan dengan 9,678 kes.
Selangor melaporkan 7,458 jangkitan, Kuala Lumpur (2,100) dan Putrajaya (120).
Selepas Selangor, Sabah melaporkan jumlah kes tertinggi iaitu 4,892 diikuti oleh Johor (2,699) dan Kedah (2,579).
Negeri lain yang melaporkan kes ialah Kelantan (1,746), Melaka (888), Negeri Sembilan (1,840), Pahang (1,647), Perak (1,552), Perlis (262), Pulau Pinang (2,575), Sarawak (416), Terengganu (852) dan Labuan (444).
Menurut portal CovidNow KKM, 17 daripada 46 kematian adalah kes kematian di luar hospital.
Dengan penambahan kematian terkini, angka kematian berjumlah 32,534 di mana 6,646 daripadanya adalah kes di luar hospital.
Pangkalan data GitHub menunjukkan Johor dan Kedah mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan masing-masing lapan kes diikuti oleh Pahang dan Sabah dengan tujuh kes serta Pulau Pinang dan Selangor masing-masing enam kes.
Tiga kematian dilaporkan di Perak, dua di Terengganu dan masing-masing satu di Kelantan serta Negeri Sembilan.
Tiada kematian dilaporkan di Melaka, Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Kadar jangkitan (Rt) berada pada 1.13 dengan semua negeri juga melaporkan kadar jangkitan melebihi 1.0. – 25 Februari, 2022