Iklan

Bertanding di Larkin, Muda tidak hormat pakatan pembangkang, kata pemimpin PKR

Raevathi Supramaniam3 years ago25th Feb 2022Berita
49933248773 a5918b5f00 o
Pemimpin PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata tindakan Muda bertanding di Larkin, menentang PKR menunjukkan rasa tidak hormat terhadap semangat perpaduan pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2022.
Iklan

KEPUTUSAN parti Muda untuk bertanding di Larkin, menentang PKR menunjukkan rasa tidak hormat mereka terhadap semangat perpaduan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata pemimpin PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau berkata tindakan Muda itu bercanggah dengan pendirian pembangkang untuk bersama-sama melawan musuh.

“Saya faham tindakan itu kerana rundingan agihan kerusi yang gagal antara Muda dan PKR.

“Namun tindakan ini hanya memburukkan keadaan dan ia seolah-olah beri kemenangan kepada lawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan parti itu akan meletakkan Rasid Abu Bakar sebagai calon di Larkin. PKR mencalonkan Zamil Najwah Arbain di kerusi sama.

Muda turut meletakkan calonnya Nurafiqah Zulkifli di Bukit Kepong, Azrol Rahani di Bukit Permai, R. Sangaran di Machap, Fikri Musa di Parit Raja, Amira Aisya Abd Aziz di Puteri Wangsa dan Lim Wei Jiet di Tenang.

Daripada tujuh kerusi itu, enam diberikan Amanah dan DAP kepada Muda.

Minggu lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata partinya akan menyokong calon Muda hanya jika parti itu menghormati syarat tidak bertanding dalam kalangan parti mesra Pakatan Harapan.

 “Ini bukan langkah bijak, dan ia akan dikecam pengundi yang sudah sedia jemu dengan perebutan kuasa.

“Muda ada hingga 26 Februari untuk mempertimbangkan tindakannya,” kata Ibrahim. – 25 Februari, 2022.

Iklan
Iklan