Iklan

Kerjasama PAS-Bersatu lebih lama berbanding dengan Umno, kata Hadi

Diyana Ibrahim3 years ago25th Feb 2022Berita
Hadi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Bersatu dan PAS memulakan gerakan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan kerana dikawal oleh DAP ketika itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2022.
Iklan

PAS memulakan usaha mengambil alih kerajaan melalui Perikatan Nasional (PN) lebih lama berbanding dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN), kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, Bersatu dan PAS memulakan gerakan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dikawal oleh DAP ketika itu.

Jelasnya, kerjasama tersebut berlangsung lebih lama berbanding percaturan politik digelar Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang pada 2020.

“Kita mula dengan PN dulu, baru MN. Perbincangan ambil alih kerajaan PH melibatkan PAS dengan Bersatu, ini bukan masa langkah Sheraton.

“Gerakan ambil alih dari dulu PAS dengan Bersatu. Bila kita buat kerjasama baru Umno datang, mula dengan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan.

“Kemudian baru presiden Ahmad Zahid Hamidi hadir,” katanya kepada pemberita di Rusila, Marang hari ini.

Oleh kerana itu, PAS tidak dapat menerima apabila Umno membuat keputusan menolak Bersatu pada waktu ini, katanya.

Tambahnya, PAS juga masih terbuka untuk bekerjasama dengan Umno biarpun banyak kali dikhianati oleh parti itu.

“Tidak ada yang mustahil dalam politik. Bukan kali pertama pun PAS berkerjasama dengan Umno. Masa merdeka kita pernah berkerjasama.

“Selepas 13 Mei kita bergabung dalam kerajaan campuran, PAS terlibat dalam Barisan Nasional. Tapi kemudian kita dipecat kerana kita bantah darurat Kelantan (1977),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya cara PAS untuk bekerjasama dengan Umno memandangkan banyak pertembungan berlaku di antara kedua-dua parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pada masa sama ahli Parlimen Marang itu berkata PAS dan Bersatu boleh sahaja menarik sokongan terhadap perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kerajaan namun tidak berbuat demikian.

“Kita masih sokong perdana menteri kerajaan PN.Umno bukan dominasi dalam kerajaan PN.  jumlah kerusi PAS Bersatu dan yang mesra kepada dua parti ini, lebih dari Umno.

“Kalau kita tarik sokongan maka jatuhlah Umno dalam kerajaan,” katanya.

Hubungan Umno dengan PAS kembali dingin apabila parti Melayu itu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Pada bulan lalu, Umno mengumumkan akan bertembung dengan PAS dengan bertanding di kesemua kerusi DUN Kelantan dalam PRU15.

Namun buat masa ini, Umno masih lagi menyokong kerajaan negeri sedia ada.

Pada masa sama, Umno masih kekal dalam pentadbiran kerajaan persekutuan dengan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Kerjasama PAS dengan Umno melalui MN dimeterai melalui piagam rasmi pada September 2019 selepas kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14.

Parti Islam itu bagaimanapun hanya berjaya menyertai kerajaan baharu melalui gabungan Perikatan Nasional yang ditunjangi Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin pada tahun lalu. – 25 Februari, 2022.

Iklan
Iklan