Iklan

60% tempahan hotel dibatalkan kerana Omicron, kata pengusaha

Khoo Gek San3 years ago27th Feb 2022Berita
50566669062 afea41cc90 c
Industri hotel kembali bergelut selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 varian Omicron. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2022.
Iklan

INDUSTRI hotel terjejas teruk akibat varian Omicron Covid-19 menyebabkan kadar penghunian menurun secara mendadak dengan pembatalan sehingga 60%.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata ramai pelanggan membatalkan tempahan mereka berikutan lonjakan kes Omicron.

“Ada yang tidak dapat datang kerana disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat.

“Permintaan adalah rendah walaupun sebelum wabak Omicron dengan kurang daripada 40% kadar penghunian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun musim perayaan baru-baru ini menyebabkan kadar penghunian meningkat, tambahnya.

“Sebagai contoh Langkawi menikmati kadar penghunian purata antara 60% dan 70% (dalam tempoh ini) dan Pulau Pinang 54%,” katanya.

Melaka, Ipoh di Perak dan Port Dickson di Negeri Sembilan juga menyaksikan peningkatan kadar penghunian.

“Pada masa ini purata kadar penghunian hotel domestik ialah 43%,” katanya.

Kadar penghunian hotel menurun secara mendadak dengan pembatalan sehingga 60% akibat varian Omicron Covid-19 yang melanda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2022.

Yap berkata dengan program vaksinasi yang berterusan dan dos penggalak, industri akan pulih secara beransur-ansur.

“Bagaimanapun pengembara lebih berhati-hati berikutan peningkatan kes dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan membimbangkan.

“Omicron bukan sahaja menjejaskan pemulihan industri hotel tempatan tetapi juga memberi ancaman kepada rancangan negara untuk membuka semula sempadan,” katanya.

Beliau berkata hotel bergantung kepada persidangan perniagaan dan pelancong tempatan untuk terus hidup.

Jamuan, persidangan perniagaan dan acara yang diadakan di hotel menyaksikan penurunan tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami berpendapat wabak itu perlahan-lahan terkawal dengan kes yang rendah dan industri akan pulih.

“Tetapi Omicron melanda menyebabkan persidangan perniagaan dan aktiviti lain ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan pembatalan atau penangguhan disebabkan mereka yang dijangkiti koronavirus atau mempunyai kontak rapat.

Kadar penghunian rendah di KL

Di Kuala Lumpur purata kadar penghunian hotel hanya pada 20% hingga 25%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2022.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein berkata ahli persatuan itu turut menerima pembatalan.

“Kami baru-baru ini menerima banyak tempahan yang dibatalkan dan tidak dapat menafikan fakta lebih ramai orang dijangkiti virus itu,” katanya.

Beliau juga berkata kadar penghunian adalah baik semasa tempoh Tahun Baru Cina.

“Banyak hotel mengalami kadar penghunian yang tinggi selama dua hari dalam tempoh tersebut tetapi kemudian ia menurun lagi,” katanya.

Di Kuala Lumpur purata kadar penghunian hotel hanya pada 20% hingga 25%, tambahnya.

“Omicron merebak dengan pantas dan orang ramai tidak mahu melakukan perjalanan,” katanya.

Emmy Suraya berkata beliau tidak optimistik mengenai rancangan untuk membuka semula sempadan kerana kerajaan mengubah pendiriannya dalam isu itu.

Pengerusi MyBHA Johor Jarod Chia berkata pengusaha hotel berdepan peningkatan dalam kadar penghunian dari November hingga Disember dan menjangkakan hasil yang lebih baik tahun ini.

“Omicron tiba-tiba melanda menyebabkan kadar penghunian hotel menurun bulan lalu.

“Penilaian awal kami ialah kadar penghunian boleh meningkat sehingga 70%,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya penurunan itu berlaku pada Januari dan penguarangan jualan bilik sebanyak 30% hingga 40% memberi kesan buruk kepada industri.

Majoriti mereka yang membatalkan tempahan menyatakan pekerja yang dalam perjalanan perniagaan didapati positif Covid-19.

“Kebanyakan mereka yang menginap di hotel sama ada dalam perjalanan perniagaan atau mesyuarat.

“Pada November dan Disember terdapat banyak persidangan perniagaan yang meningkatkan jualan kami.

“Tetapi kami terjejas sekali lagi dan perniagaan merosot. Disebabkan ini (Omicron) pelancong tempatan menangguhkan perjalanan mereka,” katanya. – 27 Februari, 2022.

Iklan
Iklan