Iklan

Mangsa banjir terdesak, panjat bumbung tunggu penyelamat

Diyana Ibrahim3 years ago27th Feb 2022Berita
Img 3120
Penyelamat sukar jalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Terengganu kerana hujan masih lebat dan arus deras. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Februari, 2022.
Iklan

KEADAAN banjir di Hulu Terengganu semakin buruk menyebabkan penduduk terpaksa merayu bantuan melalui media sosial untuk diselamatkan.

Beberapa video yang dikesan dimuatkan di pelantar  menunjukkan mereka terpaksa memanjat ke bumbung rumah untuk menunggu bantuan penyelamat.

Visual menunjukkan keadaan mangsa tersebut berlegar di Facebook dan Twitter hari ini.

Seorang mangsa yang berkongsi keadaaanya Twitter, @lilysmayl berkata kampungnya kini tidak ubah menjadi pulau terputus dan kebanyakan penduduk terperangkap.

“Hulu Terengganu banjir tahap berbahaya. Kampung aku yang tak pernah banjir pun sudah naik air perlahan-lahan.

“Kampung aku sudah jadi pulau terputus nak keluar masuk (tak) boleh. Ibu bapa aku tak sempat tambah barang keperluan, ramai tak sempat,” katanya.

Pengguna itu berkata, keadaan bertambah teruk apabila ada pusat penempatan sementara (PPS) di SK Bukit Gemuruh turut dinaiki air.

Pengguna Facebook, Nurul Izzah Embong turut berkongsi video menunjukkan keadaan Kampung Lebak dan Lubuk Pait yang dinaiki air dan merayu bomba datang menyelamat keluarganya.

“Minta bantuan untuk selamatkan seluruh penduduk Kampung Lebak dan Lubuk Pait dan seluruh Kuala Berang. Semua penduduk terjejas banjir.

“Ramai yang tersekat dalam banjir, air makin naik,” katanya.

Selain itu beberapa pengguna turut mempersoalkan reaksi penyelamat yang lambat bertindak walau keadaan banjir semakin kritikal.

Mengulas perkara itu, Angkatan Pertahanan Awam Hulu Terengganu menjelaskan mereka menghadapi kesukaran menjalankan operasi menyelamat kerana hujan masih lebat dan arus deras.

Pegawainya Kapten Mohd Zabri Abd Razak berkata mereka kini sedang mengeluarkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkawang.

Tambahnya pihaknya juga turut bergabung tenaga dengan agensi lain untuk menyelamatkan mangsa.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 15 buah PPS dibuka di daerah itu dan kini menempatkan 772 mangsa banjir yang dijangka semakin bertambah sehingga lewat petang Ahad.

Di Terengganu, paras air di sungai utama di negeri itu kini semakin naik dan sudahpun melebihi paras bahaya di 12 kawasan melibatkan enam daerah, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ia berlaku di Sungai Dungun, Sungai Besut, Empangan Tembat, Sungai Berang, Sungai Kemaman, Sungai Chalok, Sungai Setiu, Empangan Tembat dan Sungai Nerus.

Selain Teregganu, keadaan di dua daerah di Kelantan juga semakin buruk di dua negeri pantai timur semenanjung ekoran luruan udara sejuk dan sistem tekanan rendah Laut China Selatan.

Perubahan paras air sungai terbabit dapat dilihat di laman Public Info Banjir JPS.

Lebih 7,700 mangsa kini berada di 119 pusat pemindahan sementara di dua negeri tersebut setakat ini.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya) di dua negeri tersebut sehingga hari ini. – 27 Februari, 2022.

Iklan
Iklan