Lori terbalik, wakil rakyat nyaris dibawa arus deras
Iklan
SEORANG wakil rakyat Terengganu berdepan detik cemas apabila lori yang dinaikinya untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir hampir tenggelam dibawa arus deras.
Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kassim berkata dalam kejadian itu beliau bersama 13 anggota Angkatan Pertahanan Awan menuju Kampung Bukit Biah, Hulu Terengganu.
“Ia satu pengalaman yang mendebarkan lori yang dinaiki saya bersama 13 anggota dibawa arus deras dan terbalik di tepi jalan, betul-betul di sungai Kampung Lembah.
“Memang ketika itu pun air cukup deras,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata biarpun lori yang dinaikinya itu terbalik namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang dan mereka diselamatkan tidak lama selepas itu.
“Cuma barang bantuan untuk banjir seperti makanan, pakaian semua dibawa arus deras, kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.
“Saya sangat memohon maaf kerana gagal menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi,” katanya.
Hulu Terengganu antara kawasan paling teruk terjejas banjir kali ini akibat hujan lebat yang dibawa luruan angin sejuk dan juga sistem tekanan rendah Laut China Selatan sejak Khamis.
Air naik mendadak sejak awal pagi tadi dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa kampung di Hulu Terengganu turut dinaiki air.
Video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan ramai penduduk terperangkap di bumbung rumah dan tempat tinggi apabila kawasan mereka terputus hubungan.
Seramai lebih 11,800 dipindahkan ekoran banjir yang melanda di Terengganu dan Kelantan setakat jam 4.30 petang ini.
Jabatan Meteorologi memberi amaran cuaca buruk akan berlarutan di negeri ini dan hujan lebat juga dijangka di kawasan lain semenanjung dan juga Malaysia timur. – 27 Februari, 2022.