Banjir tidak terduga di Terengganu
Iklan
BANJIR di Terengganu bukan perkara luar biasa kerana negeri di pantai timur itu pada setiap hujung tahun menerima tempias peralihan monsun timur laut.
Namun banjir kali ini jadi luar biasa kerana penduduk tidak membuat persiapan awal memandangkan musim akan berakhir, sepertimana lazimnya selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Setakat 10 pagi ini, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu merekodkan 12,183 orang daripada 3,466 keluarga dipindahkan ke 172 pusat pemindahan di lapan daerah di seluruh negeri.
Kemaman dan Hulu Terengganu mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu masing-masing 3,202 dan dan 3,017 orang.
Ia diikuti Besut (2,213), Setiu (1,298), dan Dungun (1,440) sementara Kuala Terengganu juga bertambah menjadi 591 orang manakala Kuala Nerus dan dan Marang tidak berubah masing-masing 417 dan 5 orang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Besut dan Setiu, dan beberapa daerah di Kelantan.
Empat batang sungai utama di Terengganu juga setakat pagi ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman, Sungai Dungun, Sungai Telemong, dan Sungai Nerus.
Di daerah paling terjejas di Hulu Terengganu, pasukan penyelamat berdepan cabaran untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas sejak hujan berterusan empat hari lepas.
Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Hulu Terengganu, Mohd Zabri Abd Razak menyamakan banjir di Hulu Terengganu seperti yang berlaku di Selangor pada hujung tahun lepas kerana ada beberapa kawasan yang sebelum ini tidak dinaiki air namun kini hampir tenggelam.
Malah beliau menyifatkan banjir di Hulu Terengganu kali ini lebih teruk berbanding bah besar 2014 kerana ada kawasan yang kini dinaiki air dan menenggelamkan rumah tetapi tidak pada masa itu.
“Tapi kali ini banjir sampai menengelamkan rumah, macam di Selangor kerana hujan yang sangat lebat dan limpahan dari air sungai memburukkan keadaan.
“Biarpun kita tahu Terengganu antara negara yang paling terbaik dalam pengurusan bencana banjir namun kali ini ia satu tidak diduga dan arus deras air terlalu laju sehingga kenderaan logitisik (lori) kita pun boleh hanyut,” katanya.
Mohd Zakri juga mengakui ada beberapa insiden kemalangan kecil seperti bot terbalik dan kenderaan logisitik tenggelam semasa operasi menyelamat dilakukan kerana arus sangat deras.
“Insiden itu benar ada seperti kejadian bot terbalik ketika menyelamatkan penduduk Kampung Gemuruh tapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua penduduk seramai 250 berjaya kita selamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
“Anggota kita pun juga terpaksa berhati-hati kerana tidak mahu dalam kita menyelamatkan orang diri kita turut terkorban,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 60 anggota APM digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di Hulu Terengganu.
Mohd Zakri turut menjangkakan jumlah mangsa banjir di daerah itu akan terus meningkat.
Dalam pada itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat menafikan kerajaan negeri lambat menghantar bantuan kepada penduduk terjejas.
Beliau memberi jaminan semua agensi yang berkenaan seperti APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir berpindah di pusat pemindahan sementara.
Tambahnya isu kelewatan menghantar bantuan perkara tidak dijangkakan namun pihak kerajaan negeri melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan semua mangsa terkandas.
“Saya berada di lapangan sejak Khamis dan mengarahkan semua agensi kerajaan bergerak. Tak timbul isu kelewatan.
“Jika ada seorang dua yang terasa saya tak boleh nafi, tapi saya dah lakukan sebaik mungkin dan arahkan agensi bergerak dengan cepat.
“Saya rasa kalau orang yang nak terasa saya tak boleh nak buat apa sebab ini musim bencana banyak benda di luar jangkaan,” katanya.
Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan medianya memaklumkan mereka yang terkandas di bumbung rumah di Terengganu seperti yang tular di media sosial sudah diselamatkan oleh pihak bomba menggunakan helikopter.
Sementara itu, Hanafiah turut memberi jaminan tidak akan ada kekurangan bekalan makanan di pusat pemindahan sementara.
“Saya harap rakyat Terengganu jangan panik sekiranya mereka tak boleh nak hubungi selamatkan diri kerana ada pelbagai saluran lain boleh digunakan
“Yang pasti kami dari agensi kerajaan pasti akan menyelamatkan rakyat,” katanya. – 28 Februari, 2022.