Badan masyarakat gerak bantuan banjir Terengganu
Iklan
PERTUBUHAN dan anggota masyarakat pantas tampil membantu menyelamatkan mangsa banjir terkandas di Terengganu, termasuk sesetengah daripada mereka pertama kali terlibat dengan misi seumpamanya.
Pemandu pelancong Zuhairi Mohd Sidi, 29, berkata beliau menggerakkan misi bantuan makanan dan keperluan lain dengan menggunakan tiga bot dari Pulau Kapas selepas mendengar keadaan banjir yang hampir melumpuhkan Hulu Terengganu, kelmarin.
“Sebelum ini kita tak buat sebab banjir di Terengganu ini biasa dan persiapan awal memang dah dibuat. Tapi kali ini agak luar biasa sampai kawasan yang tak pernah naik banjir pun (air) naik.
“Sebab itu kita datang juga turun, dan memang keputusan tepat sebab keadaan semalam (Ahad) di Hulu Terengganu sangat kritikal dengan hujan yang berterusan dan arus deras… memang sukarlah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Zuhairi, misi mereka kelmarin dari 11 pagi berakhir 11 malam bermula dengan menyelamatkan 50 penduduk yang terperangkap berlindung di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh di Kuala Berang.
Operasi itu juga berjaya menyelamatkan 12 keluarga termasuk seorang warga emas yang mengidap lelah.
“Memang kita kena bawa juga makcik sebab dia ada penyakit. Cuma masa itu kita tak boleh nak pergi jauh sebab keadaan bahaya kita hanya dapat pusing dalam tiga kampung sahaja.
“Selain menyelamat mangsa kita juga menghantar barang keperluan seperti makanan, susu, lampin bayi pakai buang.
“Ada juga kumpulan lain macam penduduk Pulau Redang yang bagi bantuan makanan dan kami agihkan dengan bawa bot kami,” katanya.
Banjir yang melanda di Terengganu minggu ini disifatkan antara yang terburuk ketika penduduk juga tidak membuat persiapan awal.
Setakat 10 pagi ini, 141 pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak Ahad menempatkan 17,792 mangsa terdiri daripada 4,568 keluarga.
Kebanyakan yang terjejas berada di tiga daerah iaitu Kemaman (8,031 orang), Hulu Terengganu (3,700) dan Dungun (3,049).
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sebelum ini mengeluarkan amaran paras air laut tertinggi antara 25 Februari hingga 8 Mac ini.
Jabatan itu dalam kenyataan berkata paras ombak yang direkodkan di Kuala Terengganu adalah setinggi 2.20 meter hingga 2.260.
Fenomena itu menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Terengganu berisiko dilanda banjir.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi 1 Majlis Muafakat NGO Negeri Terengganu Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata setakat ini empat badan masyarakat sudah digerakkan dalam misi bantuan banjir sejak Ahad.
Antaranya Iman Care, Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti), Khidmat Malaysia dan Prihatin.
Beliau berkata Iman Care telah menghantar tiga bot dalam misi menyelamat di Setiu dan Hulu Terengganu.
“Dapur rakyat akan dibuka untuk operasi di Hulu Terengganu dan kita juga sedang mengusahakan kenderaan berat untuk ke kawasan bencana bagi operasi bantuan pemindahan dan tinjauan,” katanya.
Beliau berkata misi kali ini agak mencabar memandangkan situasi banjir yang tidak diduga itu.
“Pertamanya semalam air naik mendadak dalam keadaan bot yang tidak mencukupi, dan ramalan air banjir merebak ke daerah lain turut menyebabkan keadaan cemas.
“NGO kita semalam tidak sempat duduk semeja berbincang untuk mengatur pergerakan. Ia hanya dapat dilakukan melalui media sosial, sebab itu keadaan agak kelam kabut semalam,” katanya.
Beliau berkata NGO juga berdepan cabaran kekurangan sukarelawan atas faktor hari bekerja.
Sementara itu parti Muda di Terengganu juga tidak ketinggalan turut serta dengan memberi fokus bantuan pasca banjir.
Pengerusi Muda Terengganu Asrul Malik berkata ketika ini pihaknya dalam usaha mengumpulkan sukarelawan bagi misi bantuan pasca banjir.
“Fokus kami ialah untuk misi pasca banjir sekarang kita tengah kumpul sukarelawan untuk melakukan bantuan membersihkan kawasan penduduk, kampung, surau dan masjid.
“Selain itu kita juga menghulurkan bantuan peralatan kain sembahyang, penjagaan diri, barang mandi dan makanan seperti biskut,” katanya.
Muda juga akan dibantu dua NGO dari Kuala Lumpur iaitu Bantu Dia dan Kelab Institut Demokrat, tambahnya.
Asrul juga mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi sukarelawan.
“Ketika ini kita memang kurang sangat sukarelawan, hanya dalam 15 orang sedangkan kawasan tempat yang kita nak bersihkan ini besar.
“Sebab itu kita perlukan lebih ramai sukarelawan,” katanya.
Beliau berkata mereka yang berminat untuk membantu boleh mendaftar di https://maribantu.my/pantaitimur/. – 1 Mac, 2022.