Iklan

Apa rancangan untuk calon SPM terjejas banjir, soal Teo

Raevathi Supramaniam3 years ago1st Mar 2022Berita
50818188613 6d8e5795a3 b
Kesemua lapan daerah di Terengganu dilanda banjir dengan daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mac, 2022.
Iklan

KEMENTERIAN Pendidikan perlu menjelaskan rancangan yang dibuat bagi membantu pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula esok tetapi terjejas banjir, kata Teo Nie Ching hari ini.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata masih tidak jelas berapa ramai pelajar yang terjejas akibat banjir di Terengganu, Kelantan, Selangor dan Sabah.

“Masih tidak diketahui berapa ramai pelajar SPM dan sekolah yang terjejas akibat banjir.

“Kementerian mesti bertindak cepat dan membuat perancangan supaya ibu bapa serta pelajar yang terjejas tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya.

“Ini juga bagi memastikan pelajar dapat menduduki peperiksaan dengan selesa dan tidak panik pada saat akhir kerana tidak tahu di mana peperiksaan akan diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peperiksaan bertulis SPM bermula 2 hingga 29 Mac ini melibatkan 407,097 calon.

Ahli Parlimen Kulai itu juga memberitahu kementerian supaya tidak berlengah dalam memberi maklum balas terhadapnya kerana ternyata jabatan pendidikan negeri sedang menjalankan peranannya untuk membantu pelajar.

Seramai 233 pelajar SPM dipindahkan ke sebuah sekolah di Kuala Terengganu oleh jabatan pelajaran daerah.

“Saya menggesa kementerian untuk mengikut contoh ini dan melakukan apa yang perlu bagi memindahkan pelajar ke pusat peperiksaan baharu,” katanya.

Seramai 22,833 mangsa banjir daripada 6,709 keluarga di Kelantan dan Terengganu ditempatkan di 236 pusat pemindahan.

Kesemua lapan daerah di Terengganu dilanda banjir dengan daerah Hulu Terengganu paling teruk terjejas.

Di Kelantan banjir sudah meragut tiga nyawa.  – 1 Mac, 2022.

Iklan
Iklan