DUN Johor dipersempadan semula jika BN menang dua pertiga, kata Hasni
Iklan
BARISAN Nasional (BN) akan melaksanakan persempadan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor sekiranya berjaya menang dua pertiga daripada 56 kawasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad.
Selain itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga akan menerima peruntukan berjumlah RM200,000 untuk setiap kawasan tanpa mengira parti politik mereka.
Perkara itu diumumkan Hasni ketika membentangkan manifesto BN untuk PRN Johor yang dikenali sebagai Ikhtiar BN Johor.
“Meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 untuk Adun kerajaan dan pembangkang dengan sama rata.
“Selain itu, bagi memperkasa peranan demokrasi, dengan mandat dua pertiga, persempadanan semula akan dilaksanakan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai,” kata Hasni.
Ketua penyelaras BN PRN Johor itu berkata, langkah itu mampu mencapai matlamat memakmurkan negeri Johor yang didukung oleh naratif politik baharu yang matang dan stabil.
“Kita tidak berjanji. Kita berikhtiar. Dan ikhtiar-ikhtiar kita akan terus dikembang dan diperkasakan semata-mata untuk kemakmuran Johor,” katanya.
Ikhtiar-ikhtiar tersebut merangkumi lima tunjang utama iaitu kemajuan ekonomi; kesejahteraan rakyat; ikhtiar khusus untuk Orang Muda Johor (OMJ); ikhtiar untuk membudayakan pentadbiran berintegriti dan ikhtiar untuk melaksanakan reformasi politik.
Hasni yang mempertahankan kerusi di DUN Benut berkata, melalui persempadanan semula wakil rakyat dapat berkhidmat dengan lebih baik di kawasan mereka.
“Pendekatan ini bertujuan untuk mereformasi politik itu berlaku, kita tahu ada kawasan pengundi sehingga 100,000.
“Akhirnya perkhidmatan wakil rakyat dapat memberi ruang dan peluang kepada masyarakat setempat dalam menerima perkhidmatan wakil rakyat.
“Kalau 100,000 rakyat untuk satu Adun mustahil untuk Adun,” katanya.
Tambahnya, Johor juga mahu pembangkang yang berkesan di dalam DUN dan tidak hanya menjadi pembangkang yang menurut dan disebabkan itu peruntukan sama rata diberikan kepada wakil rakyat mereka.
Pembangkang yang berkesan katanya juga harus menjadi semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan.
“Tak guna ada pembangkang ‘yes man’, setuju sahaja kerajaan buat apa, pembangkang terus membangkang, wakil rakyat kerajaan merangka program nak dilaksanakan.
“Pembangkang menjadi semak dan imbang, sama ada kepada belanjawan negeri, atau rundingan yang menyentuh dasar kerajaan negeri.
“Ini pendekatan yang saya kata tadi ikhtiar yang akan dibuat BN dan inilah yang akan dipersembahkan kepada rakyat Johor,” kata Hasni. – 1 Mac, 2022.