Pemilik restoran terus bergelut isu kurang pekerja
Iklan
RESTORAN yang mula menyaksikan peningkatan perniagaan selepas dua tahun koronavirus kini berdepan satu lagi masalah, kekurangan tenaga kerja yang serius, kata pakar industri.
Pekerja migran yang pulang ke negara mereka pada permulaan wabak itu tidak kembali, menyebabkan ramai mengalami kekurangan kakitangan dan tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
Banyak restoran kini terpaksa mengurangkan kapasiti tempat duduk kerana penduduk tempatan tidak mahu mengisi kekosongan jawatan itu.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata ahlinya mengalami kekurangan pekerja antara 20,000 hingga 30,000 orang.
Ahli Presma memiliki sekitar 10,000 restoran di seluruh negara.
“Perniagaan kami meningkat sedikit tetapi tidak cukup pekerja untuk melakukan kerja membersihkan meja, mengambil tempahan dan menghidangkan makanan,” kata Jawahar kepada The Malaysian Insight.
“Pelanggan perlu menunggu lama untuk makanan mereka dan ia tidak baik untuk reputasi kami.”
Jawahar berkata beliau sudah membawa perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri.
Beliau juga menegaskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Sumber Manusia gagal menyelesaikan walau hanya 1% daripada masalah kekurangan tenaga kerja ini.
“Di Pulau Pinang, tiga restoran rantaian besar memutuskan untuk tutup kedai kerana tidak dapat bertahan dengan kesan kekurangan tenaga kerja,” kata Jawahar.
“Kami kini berada dalam fasa keempat pelan pemulihan negara tetapi kami berasa tidak berdaya. Perniagaan mahu maju tetapi kami tiada pekerja.
“Dua hari lalu, seorang anggota di Alam Damai, Cheras memasang kain rentang untuk mengambil pekerja dengan gaji antara RM1,500 hingga RM3,000 bergantung kepada jawatan tetapi tiada sesiapa yang memohon walaupun waktu bekerja mengikut undang-undang buruh. ”
Sejak wabak itu bermula pada 2020, lebih 2,000 restoran ditutup kerana masalah aliran tunai dan perintah kawalan pergerakan, kata Jawahar.
Sekarang selepas ia boleh dibuka seperti biasa, mereka menghadapi kekurangan tenaga kerja, katanya sambil menambah waktu perniagaan dipendekkan dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Selain kekurangan pekerja, gelombang Omicron menyebabkan lebih ramai memilih untuk membawa balik makanan berbanding makan di restoran, katanya.
“Oleh kerana Omicron, perniagaan kami menurun antara 15% hingga 20%, tetapi orang masih memesan daripada platform penghantaran. Kami masih mempunyai perniagaan tetapi tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi.” – 2 Mac, 2022.
Berita penuh di sini