Iklan

Harga kit ujian kendiri, PCR Covid-19 perlu lebih murah, kata pakar kesihatan

Raevathi Supramaniam3 years ago2nd Mar 2022Berita
Saliva test kit 24082021  full
Pakar kesihatan berkata harga kit ujian RTK-Antigen dan PCR Covid-19 perlu lebih murah bagi membolehkan orang ramai melakukan ujian saringan lebih mudah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mac, 2022.
Iklan

PUTRAJAYA perlu mencari cara untuk mengurangkan kos kit ujian RTK-Antigen dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) Covid-19 bagi menjadikan ia lebih mampu milik untuk orang ramai.

Ia berikutan semakin ramai akan mengambil ujian itu pada masa ini, terutama dengan gelombang Omicron yang melanda di Malaysia, kata pakar kesihatan.

Kementerian bukan saja perlu mengkaji semula kos ujian itu, tetapi perlu melihat kepada keberkesanan perkakasan unian kendiri RTK yang sering memberi keputusan silap, kata mereka.

Pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar berkata harga semasa kit ujian RT sekitar RM5 hingga RM20 masih terlalu mahal.

“Ia agak mahal untuk isi rumah biasa, terutama bagi yang ahli keluarganya ramai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“(Jika harga terlalu tinggi) orang awam akan mengambil ujian sangat selektif atau hanya bagi kes benar-benar penting. Ini akan menggagalkan matlamat ujian, lapor, kuarantin, memaklumkan dan mendapatkan rawatan segera (TRISS).”

Pada September tahun lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kementerian menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri pada RM19.90 sementara harga borong ialah RM16.

Kit ujian kendiri laku dijual di farmasi sejak beberapa minggu terakhir ini berikutan gelombang Omicron yang mencatatkan jangkitan harian mencecah 30,000 kes.

Setakat Oktober tahun lalu, 49 kit ujian kendiri Covid-19 diberikan kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan.

Pensyarah kanan dan doktor kecemasan di UKM Dr Tan Toh Leong berkata kerajaan perlu menurunkan lagi harga itu bagi menggalakkan ujian Covid-19 dilakukan.

“Harga itu penting. Kerana ia agak mahal dan pada masa ini RTK menjadi produk harian pengguna. Ia seperti barang keperluan harian kita dalam norma baharu.

“Bila harga mahal, ia sudah tentu menyebabkan kurangnya orang melakukan ujian kendiri,” katanya.

Selain kurangnya ujian saringan dilakukan, Tan berkata Omicron yang terlalu mudah berjangkit, makan di premis tanpa pelitup muka dan musim perayaan juga antara punca lonjakan kes harian.

Walaupun RTK digunakan secara standard oleh kementerian pada masa ini, doktor berkata masih ada keperluan untuk mengadakan ujian PCR, tetapi harganya terlalu tinggi.

“Protokol kini tidak semestinya perlu PCR; jika ujian RTK positif, ia dianggap positif,” kata pakar epidemiologi Dr Malina Osman.

Ujian RTK didapati sering memberi keputusan negatif yang silap, menyebabkan ramai mempertikaikan keberkesanan kit itu.

Dalam keadaan seperti ini, ujian PCR diperlukan, kata Dr Malina.

“Dalam keadaan di mana RTK negatif tetapi individu itu bergejala, doktor akan menasihatkan untuk mengambil ujian PCR.” – 2 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan