Iklan

Kematian harian Covid-19 terus meningkat, 78 kes semalam

Raevathi Supramaniam3 years ago2nd Mar 2022Berita
Bm-0103-daily covid-19 deaths-03
Iklan

KEMATIAN akibat Covid-19 terus meningkat, dengan 78 kes dilaporkan semalam, kes harian tertinggi sejak awal tahun ini, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdahulu, jumlah kematian tertinggi pernah dilaporkan tahun ini ialah 75 iaitu kelmarin.

Daripada 78 kematian itu, 34 kes meninggal dunia di luar hospital. Ini menjadikan jumlah kumulatif akibat koronavirus ialah 32,827.

Kes kematian tertinggi dilaporkan sejak pandemik bermula ialah 592 kes pada 12 September.

KKM turut melaporkan 25,854 kes jangkitan baharu, naik daripada 23,100 kes hari sebelumnya.

Dengan tambahan kes baharu itu, kes aktif pada masa ini ialah 293,651.

Pangkalan data GitHub menunjukkan Johor yang bakal menghadapi pilihan raya merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 21 kes, diikuti Kedah (15) dan Selangor (13).

Negeri lain yang turut melaporkan kes kematian ialah Perak (9), Sabah (6), Pulau Pinang (5), Kelantan, Melaka dan Terengganu (2) serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur.

Tiada kematian dilaporkan di Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, Selangor terus merekodkan kes harian tertinggi dengan 5,969.

Ia diikuti dengan (2,801), Pulau Pinang (2,377) dan Sabah (2,158).

Kes jangkitan baharu turut dilaporkan di Johor (1,767), Kelantan (1,518), Melaka (507), Negeri Sembilan (1,808), Pahang (1,269), Perak (1,288), Perlis (300), Sarawak (1,248), Terengganu (727), Kuala Lumpur (1,751), Labuan (230) dan Putrajaya (136)

Sebanyak 7,542 kes Covid-19 dirawat di hospital, dengan 374 berada di unit rawatan raid an 213 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Penggunaan kadar hospital pada 67.1% dengan 61.8% khas untuk pesakit Covid-19. – 2 Mac, 2022.

Iklan
Iklan