Iklan

TNB tutup stesen janaelektrik di Tasik Kenyir

Diyana Ibrahim3 years ago2nd Mar 2022Berita
275113675 2621800367963562 8049973780389233644 n
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Baharin Din berkata tiga kejadian tanah runtuh berlaku pada Ahad menyebabkan operasi stesen janakuasaelektrik di Kenyir terpaksa ditutup. – Gambar Facebook, 2 Mac, 2022.
Iklan

TENAGA Nasional Berhad menutup operasi stesen janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir, Hulu Terengganu, sejak Ahad selepas menara penghantaran voltan tingginya tumbang akibat tanah runtuh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Baharin Din berkata tiga kejadian tanah runtuh berlaku pada Ahad selepas hujan lebat berterusan sejak 25 Februari.

“Hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lepas mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM pada jam 4 pagi 27 Februari, diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen, seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu (huluan SJSM).

“Tanah runtuh ketiga kira-kira jam 10 pagi hari yang sama meruntuhkan sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan insiden itu, TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnes atau pelan tindakan kecemasan untuk menangani situasi tersebut, termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain.

“Langkah-langkah lain turut melibatkan penilaian impak kejadian kepada struktur empangan dan pelaksanaaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM. 

Penilaian awal turut mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat, tambahnya.

Justeru itu katanya TNB akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun selain mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan.

Beliau berkata kerja-kerja baik pulih dijangka akan memakan masa hampir enam bulan.

“Ia merangkumi kerja-kerja membersihkan semua halangan dan kelodak banjir, meminimumkan kesan hakisan dan mengelak kemungkinan hakisan lanjut serta selenggaraan pada peralatan dan asset-aset penjanaan. 

“Langkah-langkah wajar bagi memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal juga telah diambil,” katanya.

Semalam tular di media sosial video mendakwa kayu balak yang memenuhi Tasik Kenyir kerana banjir telah merosakkan empangan itu.

Ahad lepas Tenaga Nasional Berhad, TNB juga menafikan sebuah video tular yang kononnya paras air di empangan Tasik Kenyir semakin tinggi dan akan dilepaskan dalam masa terdekat. – 2 Mac, 2022.

Iklan
Iklan