Sekolah musnah dihentam banjir, murid Orang Asli hilang tempat belajar
Iklan
SERAMAI 70 murid Orang Asli hilang tempat belajar apabila sekolah mereka, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua di Kuala Berang, Terengganu musnah dalam banjir buruk Ahad lalu, kata guru besarnya.
Zaidi A Ghani memberitahu The Malaysian Insight, kemusnahan itu amat teruk dan beliau bimbang kerja-kerja baik pulih memakan masa lama dan menjejaskan pelajaran murid suku Semaq Beri itu.
“Boleh dikatakan keseluruhan kawasan sekolah ini musnah habis kerana banjir. Kerja-kerja baik pulih dijangka akan ambil masa yang lama.
“Tiga minggu pun belum tentu boleh siap semula sekolah ini. Sekarang ini musim cuti sekolah jadi mungkin tidak ada isu lagi.
“Kebimbangan kita bila habis cuti sekolah 20 Mac ini tapi kerja baik pulih masih belum selesai. Di mana murid ini hendak belajar kerana kelas mereka habis musnah?” katanya.
Mereka merancang untuk menjadikan bilik asrama atau surau sebagai kelas sementara murid sekolah itu jika kerja baik pulih tidak dapat disiapkan selepas sesi persekolahan dibuka semula.
Bagaimanapun, bangunan itu juga tidak sempurna kerana mengalami kerosakan, kata Zaidi.
“Yang boleh kita fikirkan dalam masa terdekat ini bilik asrama depan sekolah disebabkan kawasan tinggi jadi tak terjejas banjir sangat. Kita mungkin akan letak pelajar di situ.
“Tapi isu di situ bumbung bocor jadi mungkin tak berapa sesuai untuk dijadikan kelas. Ataupun kita akan guna surau sekolah.
“Surau ini pun memang kena banjir tapi tak terlalu teruk cuma perlu dibersihkan saja,” katanya.
Zaidi berkata, kerja-kerja pembersihan pula mencabar kerana peralatan tidak dapat digunakan memandangkan kawasan kampung itu sudah terputus bekalan elektrik.
Nilai kerugian sama kos bina sekolah baharu
Seramai 70 orang murid menuntut di SK Sungai Berua yang dikendali 11 guru serta dua kakitangan.
Sekolah itu dibina pada 1980-an selepas masyarakat Orang Asli yang asalnya tinggal di pedalaman dipindahkan ke kampung tersebut kerana pembinaan empangan Kenyir.
Dianggarkan seramai 600 penduduk Orang Asli tinggal di kampung tersebut.
Menyorot kembali detik cemas bencana banjir itu, Zaidi berkata, kakitangan memaklumkan air mula naik dan memasuki kawasan sekolah sekitar jam 3 pagi pada Ahad.
“Dalam tempoh lima minit sahaja kepala air yang turun dari bukit berhampiran berserta dengan pokok kayu telah memenuhi semua kawasan ini dan meranapkan semua peralatan sekolah.
“Sekolah ini ditenggelami air setinggi enam meter,” katanya yang menganggarkan kerugian dialami sama seperti kos untuk membina semula sebuah sekolah baharu.
Zaidi berkata, banjir yang berlaku begitu mengejutkan dan kesannya begitu teruk.
Jelasnya hampir keseluruhan sekolah itu rosak termasuk enam bilik darjah, bilik mesyuarat, pejabat, bilik kesihatan, stor sukan, makmal komputer, perpustakaan, surau, bilik guru dan padang bola.
“Ia tidak termasuk peralatan meja kerusi, buku teks. Semua rosak kerana murid Orang Asli akan simpan buku mereka di sekolah.
“Turut musnah 20 komputer riba dan 30 komputer yang baru kita dapat untuk kegunaan murid tahun lalu,” katanya.
Beliau juga sedih kerana bencana itu merosakkan rancangannya untuk menjalankan program pengindahan landskap sekolah semasa cuti sekolah.
“Kita pun rancang nak buat pembangunan sukan maksudnya cuti sekolah nak buka kelas pingpong sebab nak asah bakat pelajar.
“Tapi itulah, sebab banjir memang habis semua peralatan dan tak dapat kita nak buat,” katanya.
Tinjauan The Malaysian Insight di sekolah itu mendapati kawasan sekolah termasuk bilik darjah diselaputi dengan lumpur tebal dan terdapat juga serpihan kayu dari pokok.
Sebahagian peralatan meja dan kerusi didapati dibawa banjir sejauh kira-kira 100 meter dari kawasan sekolah.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Berua Alias Pelong berkata, ia kali pertama banjir teruk berlaku di kampung tersebut.
“Sebelum ini kawasan ini tidak pernah berlaku banjir. Banjir teruk semasa 2014 pun tapi kawasan ini tidak ditengelami air,” katanya.
Beliau berkata, banjir meranapkan sekolah, namun mereka bernasib baik kerana air tidak naik sehingga ke rumah penduduk.
Manakala Pegawai Meja Pengurusan Pendidikan Murid Orang Asli Terengganu, Mohd Sanusi Awang@Hamid berkata, kerja pembersihan kawasan sekolah itu menjadi perhatian pihaknya.
Katanya, usaha tersebut akan dibantu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan badan bukan kerajaan.
“Kita akan menyediakan laporan terperinci mengenai kerosakan yang berlaku di sekolah ini dan akan panjangkan kepada PPD sebelum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya. – 4 Mac, 2022.