Iklan

Lebih ramai miskin bandar ke dapur amal

Elill Easwaran3 years ago6th Mar 2022Berita
kuala lumpur tmi 2022
Kemelesetan ekonomi semasa disebabkan pandemik Covid-19 ditambah dengan bencana banjir tahun lepas, inflasi dan krisis global semuanya memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.
Iklan

DAPUR amal di Lembah Klang menyaksikan peningkatan jumlah miskin bandar yang datang mendapatkan makanan sejak beberapa bulan lalu, kata beberapa orang pengendali.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight mereka yang datang masih bergelut dengan beban kewangan disebabkan pemulihan perlahan ekonomi yang berlaku disebabkan pandemik Covid-19 dan bencana banjir besar tahun lepas.

Pengasas Beyond Borders Mahi Ramakrishnan berkata selain “bencana berkembar” Covid-19 dan banjir, harga barangan makanan seperti sayur-sayuran dan ayam yang meningkat naik turut membebankan kumpulan rakyat berpendapatan rendah.

“Ramai masih tak mampu cari kerja baru selepas dibuang disebabkan pandemik,” kata Mahi.

“Ada yang tidak dapat menyambung semula perniagaan kecil-kecilan mereka disebabkan sedikit simpanan yang ada digunakan untuk menyara hidup.

“Dan selepas sekatan pergerakan pandemik dilonggarkan, negara dilanda banjir antara terburuk dalam sejarah pula.”

Beyond Borders membekalkan sekitar 1,200 hidangan seminggu kepada mereka yang memerlukannya.

Sekarang bukan hanya golongan gelandangan yang mendapatkan bantuan makanan daripada dapur amal di Kuala Lumpur, miskin bandar turut ke sana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2022.

Pengasas Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PPKUM) Elisha Kor Krishnan pula menganggarkan peningkatan 20% jumlah mereka yang hadir ke program makanan percuma anjuran pertubuhan itu.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan Mahi, memberi sebab utama peningkatan adalah pengangguran kerana kemelesetan ekonomi semasa.

“Biasanya kami edarkan 100 bekalan makanan setiap sesi tetapi sekarang kami edarkan dua kali ganda.

“Kami jangkakan jumlah itu akan terus meningkat dalam beberapa bulan lagi,” katanya.

PPKUM mengedarkan bekalan makanan dua kali sehari pada waktu pagi dan malam, lima kali seminggu.

Tambah Elisha, bagaimanapun PPKUM juga bergelut dengan masalah dana ketika ini dan mungkin terpaksa menghentikan pengedaran makanan buat sementara waktu jika dana tidak dapat dikumpul secepat mungkin.

Pengasas Pertiwi Soup Kitchen Munirah Abdul Hamid pula berkata yang mereka yang datang ke dapur umum mereka kebanyakaannya adalah miskin bandar dan bukannya orang gelandangan.

Pertiwi bagaimanapun tidak menyaksikan peningkatan jumlah mereka yang mendapatkan bantuan, katanya.

Sebelum ini, beliau memberitahu The Malaysian Insight yang kewujudan kumpulan ad hoc yang mengedarkan makanan menimbulkan masalah kebersihan dan pembaziran.

Pertiwi mengedarkan makanan di Pusat Transit Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2 di Kuala Lumpur untuk 800 orang setiap hari.

Ketika majikan dan golongan kaya terus bermewah, rakyat berpendapatan rendah terus dibelenggu masalah gaji untuk makan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2022.

Derita miskin bandar

Laporan peningkatan orang yang berkunjung ke dapur umum sepanjang musim kelembapan ekonomi, yang kata pakar boleh diburukkan lagi dengan perang Rusia dan Ukraine yang boleh menyebabkan peningkatan mendadak inflasi.

Penderitaan kumpulan miskin bandar juga menjadi perhatian awam ketika kesatuan sekerja dan golongan pendapatan rendah mendesak pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi walaupun dibantah kumpulan majikan.

Kerajaan dijangka meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 pada hujung tahun ini.

Pandemik mengheret ramai golongan berpendapatan rendah ke kancah kepapaan dan bantuan diberikan dapur amal dan badan kebajikan tidak mencukupi untuk membantu mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2022.

Penyelidik The Centre, Edwin Goh berkata keputusan kerajaan mengenai gaji minimum akan menentukan bayaran upah bersih pekerja dan kemampuan mereka menyara hidup.

Katanya sepanjang 2012 sehingga 2022, gaji minimum di Malaysia hanya naik sebanyak RM300, yang diterjemahkan sebagai hanya 3.3% nominal setahun atau sekitar 1.5% setahun selepas mengambil kira faktor inflasi.

“Dengan andaian tiada semakan kerap berkala gaji minimum, pekerja gaji minimum ini akan terus terbeban untuk menyara hidup kerana harga harian makanan naik lebih cepat daripada pendapatan mereka,” katanya.

Menurutnya, statistik Sistem Insurans Pekerjaan tahun lepas menunjukkan yang setakat suku keempat 2022, hampir 8.8% pekerja di Malaysia dibayar kurang daripada gaji minimum semasa iaitu RM1,200 sebulan.

Jumlah itu lebih tinggi jika pekerja di sektor tidak rasmi diambil kira, tambahnya lagi. – 6 Mac, 2022.

Iklan
Iklan