Iklan

Bantuan sebenar diperlukan bukan swafoto, kata pemilik K9 Cottage

Raevathi Supramaniam3 years ago6th Mar 2022Berita
Flood dog k-9 cottage salehin ibrahim 01
Salehin Ibrahim membasuh anjingnya di K9 Cottage, pusat terapi haiwan di Sungai Lui, Hulu Langat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Mac, 2022.
Iklan

TIGA bulan selepas banjir teruk melanda Hulu Langat, Selangor, K9 Cottage, pusat terapi haiwan di Sungai Lui masih bergelut untuk menangani kesannya.

Salehin Ibrahim, bekas pegawai bank yang mengendalikan pusat itu berkata, kerja pembaikan sukar dilakukan susulan kerenah birokrasi, lokasi pusat terpencil dan kekurangan bekalan elektrik.

Ketika ramai sukarelawan mengunjungi pusat itu selepas nasibnya diketengahkan dalam berita, Salehin berkata, ramai yang datang untuk kepuasan diri dan mengambil swafoto untuk disiarkan di media sosial.

“Masih ada kira-kira 70% kerja pembersihan yang perlu dilakukan,” kata Salehin kepada The Malaysian Insight.

“Pagar penuh belum siap dan rumah saya juga belum siap. Boleh dikatakan keadaan masih sama kecuali saya sudah bersihkan kebanyakannya.

“Selepas hampir tiga bulan saya masih tinggal di bawah kanopi,” katanya merujuk kepada penginapan sementaranya selepas rumahnya musnah dilanda banjir.

Hulu Langat adalah antara kawasan banjir yang paling teruk terjejas di Selangor pada Disember, apabila beberapa negeri di Semenanjung turut dilanda banjir. Hujan lebat luar biasa yang dikaitkan dengan hujung ekor Taufan Rai yang melanda Filipina, melanda Pantai Timur dan kawasan tengah yang biasanya terhindar daripada banjir akhir tahun.

Salehin terpaksa berpaut kepada tiang apabila paras air naik. Dua ekor anjingnya, Patch dan Stoner berjaya berenang ke arahnya dan mereka bertiga bertahan sementara menunggu air surut.

Selain Patch dan Stoner, beliau mempunyai tiga lagi anjing - Putih, Hitam dan Koa.

“Anjing-anjing itu sihat, mereka mempunyai makanan yang mencukupi. Patch bagaimanapun tiba-tiba mula bersin darah tetapi saya tidak dapat membawanya ke doktor haiwan.”

Kereta Salehin rosak akibat banjir menyebabkan beliau tidak mempunyai kenderaan.

“Jika sesiapa boleh datang dan membuat pemeriksaan kesihatan anjing terutamanya Patch, ia pasti membantu.

“Kalau apa-apa jadi kepadanya…”, Salehin terhenti, tidak dapat menyudahkan ayatnya.

Bukan sahaja harta benda Salehin rosak akibat banjir, barangan miliknya termasuk panel solar yang membekalkan elektrik ke pusat yang dibina di atas sebidang tanah seluas 1.5 hektar itu dihanyutkan air banjir.

Tanah runtuh di belakang hartanya itu juga menghalang akses ke Sungai Gabai dan ia sebaliknya mewujudkan laluan air baharu yang kini menghampiri kawasannya.

Beliau menggunakan backhoe untuk menggali laluan air baharu bagi menyelamatkan kawasannya.

Namun untuk melakukannya, Salehin perlu mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan.

“Saya terpaksa memohon permit untuk menggunakan jentera berat di tanah saya. Mereka memberi saya permit selama tiga bulan, jadi sekarang saya boleh menggunakan backhoe dan chainsaw.”

Permit itu berharga RM200 untuk tiga bulan dengan tambahan RM50 untuk chainsaw, katanya.

Selain sampah dan serpihan, Salehin juga perlu menangani beberapa paip yang mengalir melalui kawasannya.

Paip itu membekalkan air ke penempatan di bawah bukit dan mengalir terus melalui tanah Salehin dengan pemiliknya enggan mengalihkannya.

“Terdapat paip di seluruh kawasan ini dan ia menyukarkan pembersihan. Saya meminta penduduk tempatan mengeluarkannya tetapi mereka enggan.

“Paip itu membekalkan air ke kawasan setinggan pendatang tanpa izin dengan kira-kira 200 orang di bawah bukit. Mereka menceroboh tanah saya.

“Saya kini sedang meratakan tanah dan memastikan paip dialihkan, ia berada di merata tempat. Sungai baru masih ada, kita sedang mengoreknya,” katanya.

Tidak mahu sukarelawan lagi, sumbangan dialu-alukan

Walaupun Salehin bersyukur kepada semua sukarelawan yang hadir untuk membantunya, pada masa ini beliau lebih suka menggunakan bantuan profesional dengan sumbangan yang diterimanya.

“Saya tidak mahu sukarelawan datang lagi kerana saya perlu membersihkan semula selepas mereka pulang.

“Sekarang tidak ramai sukarelawan, mereka datang untuk mengambil gambar dan menyiarkan di media sosial. Ada yang hanya mahu meletakkan anjing mereka di sini,” katanya sambil menambah walaupun beliau menjelaskan pusatnya bukan tempat perlindungan, beliau masih mendapat banyak permintaan.

“Sebenarnya, saya sudah pun menghadapi masalah dengan penduduk tempatan yang tidak berpuas hati (kerana saya mempunyai anjing). Saya tidak boleh dibebani dengan lebih banyak anjing yang memerlukan penjagaan jangka panjang. Tidak ketika saya sebenarnya yang memerlukan bantuan.” – 6 Mac, 2022.

Iklan
Iklan